KUALA LUMPUR, 19 FEB – Kementerian Pertahanan menafikan dakwaan bahawa jawatan Naib Canselor Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) dijadikan sebagai ‘tempat buangan’ untuk menyisihkan panglima bertaraf tiga bintang jauh daripada orbit kepimpinan markas perkhidmatan di Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Menteri Pertahanan, Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin menjelaskan dalam penyataan jawapan lisan di Parlimen Dewan Rakyat, proses pelantikan bagi jawatan tersebut diputuskan di peringkat Mesyuarat Majlis Angkatan Tentera (MAT) dan juga perkenan oleh Seri Paduka Baginda Yang di- Pertuan Agong.
Beliau menegaskan setiap pelantikan jawatan kritikal seperti Naib Canselor UPNM merupakan sebahagian usaha strategik bagi meningkatkan keupayaan intelektual pertahanan negara melalui pendidikan.
Terdahulu, ahli Parlimen Tanah Merah, Dato’ Sri Ikmal Hisham Abdul Aziz meminta Kementerian Pertahanan menjelaskan dakwaan bahawa jawatan Naib Canselor sebagai ‘tempat buangan’.
“Apakah benar tohmahan bahawa jawatan Naib Canselor Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) kerap dijadikan sebagai “tempat buangan” untuk menyisihkan panglima bertaraf tiga bintang jauh daripada orbit kepimpinan markas perkhidmatan di Angkatan Tentera Malaysia/Kementerian Pertahanan,” kata Ikmal.
Menteri Pertahanan menegaskan penempatan pegawai dalam ATM berlandaskan prinsip profesionalisme dan keperluan strategik organisasi.
“Pegawai yang dilantik ke jawatan ini bukan sahaja memiliki pengetahuan, pengalaman dan kepakaran yang tinggi, tetapi juga mempunyai tempoh perkhidmatan yang panjang sebagai asas penting untuk memahami budaya organisasi dan seterusnya merancang hala tuju strategik pertahanan,” jelasnya.
Beliau turut menegaskan, UPNM sebagai institusi pengajian strategik negara, turut merekodkan Panglima Angkatan Tentera ke-20 pernah menyandang jawatan Naib Canselor. -airtimes.my
#AirTimes #UPNM #NaibCanselor #Pertahanan #ATM #Malaysia