KUALA LUMPUR, 19 FEB – Tentera Darat Malaysia (TDM) dan seluruh warga Kor Polis Tentera Diraja (KPTD) kehilangan seorang Pegawai Kanan yang sangat berwibawa, yang telah mencurahkan khidmat bakti kepada perkhidmatan dan negara selama hampir 40 tahun.
Timbalan Panglima Tentera Darat, Leftenan Jeneral Dato’ Tengku Muhammad Fauzi Tengku Ibrahim berkata, Mejar Jeneral Abd Wahab Geoh merupakan Pegawai Kanan Tentera Darat yang berketerampilan dan menjadi sumber inspirasi kepada seluruh warganya.
Menurutnya, ketokohan dan keterampilan beliau yang cemerlang ini wajar dicontohi oleh seluruh warga KPTD untuk terus kekal cemerlang sebagai sebuah ketumbukan yang unggul dan kredibel serta berjaya dalam pelaksanaan misi Tentera Darat yang diperintahkan.

Sepanjang pemerintahan Mejar Jeneral Abd Wahab Geoh sebagai Pegawai Memerintah, beliau telah memberi transformasi kepada pasukan sehingga menjadi contoh pasukan di naungan 3 Divisyen – Timbalan Panglima Tentera Darat, Leftenan Jeneral Dato’ Tengku Muhammad Fauzi Tengku Ibrahim. Foto: AirTimes/N.Huda
“Sepanjang beliau bertugas sebagai Pengarah dan Pengerusi KPTD, beliau turut dipertanggungjawabkan untuk menganjurkan acara besar seperti TATU dan Karnival Hari Terbuka Tentera Darat tahun 2023,
“Sumbangan beliau juga dalam bidang sukan terbukti setelah KPTD dinobatkan Johan Pertandingan Bola Sepak antara Kor/Rejimen Tentera Darat tahun 2022,
“Di samping itu juga, beliau telah membawa nama KPTD ke tahap yang tinggi setelah dinobatkan Johan Anugerah Pengurusan dan Inovasi Tentera Darat (Kategori Pengiktirafan) dan menjadi koordinator Persembahan Khas Angkatan Tentera Malaysia Sempena Sambutan Hari Kebangsaan ke-67 tahun 2024,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa Perbarisan Penghargaan Mejar Jeneral Abd Wahab Geoh di Kem Pusat Latihan Polis Tentera Diraja (PULAPOT), Kem Genting Klang, hari ini.

Seramai 15 pegawai dan 185 anggota diketuai oleh Leftenan Kolonel Muhammad Hilmi Hashim terlibat dalam Perbarisan Penghargaan Mejar Jeneral Abd Wahab Geoh di Kem Pusat Latihan Polis Tentera Diraja (PULAPOT), Kem Genting Klang, hari ini. Foto: AirTimes/N.Huda
Perbarisan penghargaan yang terdiri daripada 15 pegawai dan 185 anggota diketuai oleh Leftenan Kolonel Muhammad Hilmi Hashim.
Leftenan Jeneral Dato’ Tengku Muhammad Fauzi turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Mejar Jeneral Abd Wahab atas segala bakti dan pengorbanan yang telah dicurahkan sepanjang perkhidmatannya.
“Sama-samalah kita mengambil teladan dan mencontohi kewibawaan dan ketokohan beliau,
“Keikhlasan dan kesungguhan dalam meningkatkan kegemilangan dan imej TDM hendaklah kita jadikan pendorong untuk meneruskan perjuangan demi agama, bangsa dan tanah air yang tercinta.” ujar TPTD lagi.

Pegawai dan anggota Kor Polis Tentera Diraja (KPTD) melaksanakan acara Sent Off kepada Mejar Jeneral Abd Wahab Geoh dan isteri Puan Hafifah Ahmad. Foto: AirTimes/N.Huda
Mejar Jeneral Abd Wahab, anak jati Johor ini telah memulakan perjalanan ketenteraannya sejak 24 Mac 1986 sebagai Pegawai Kadet di Sekolah Pegawai Kadet di Kem Segenting, Port Dickson, Negeri Sembilan.
Sepanjang berkhidmat selama hampir 40 tahun, beliau telah menjawat pelbagai jawatan penting termasuklah sebagai pemerintah, jurulatih dan staf di Markas Formasi dan Tentera Darat.
Terdahulu, Mejar Jeneral Abd Wahab telah menerima tabik hormat dan melaksanakan pemeriksaan barisan serta menyaksikan perbarisan berjalan lalu.
Setelah hampir 4 dekad menabur bakti, Mejar Jeneral Abd Wahab akan menamatkan perkhidmatannya pada 24 Jun 2025.-airtimes.my
#KPTD #TDM #MP #bersara #airtimes #pertahanan