KUALA LUMPUR, 24 Jan – Himpunan anti-rasuah anjuran mahasiswa dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) esok (25 Januari) harus mendapat kerjasama penuh daripada pihak berkuasa bagi memastikan ia berjalan dengan aman dan tertib.
Timbalan Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat, Chua Wei Kiat berkata, berkata program ini selaras dengan dasar Kerajaan MADANI yang menolak korupsi dan mengutamakan tata kelola baik.
“Saya mengambil maklum mengenai tindakan sekatan terhadap Himpunan Anti-Rasuah yang dianjurkan oleh mahasiswa dan NGO. Pihak berkuasa perlu memberikan kerjasama penuh kepada mahasiswa dan NGO bagi memastikan perhimpunan dapat berlangsung dengan aman dan teratur,
“Himpunan ini diadakan atas dasar perjuangan menentang rasuah, satu isu yang menjadi keutamaan pentadbiran Datuk Seri Anwar Ibrahim. Justeru, pihak berkuasa tidak seharusnya melihatnya sebagai ancaman, tetapi sebagai sokongan moral kepada agenda reformasi yang sedang dijalankan,
“Matlamat himpunan ini selari dengan aspirasi Kerajaan MADANI dalam memperkukuhkan integriti, ketelusan dan tadbir urus yang bersih,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Perhimpunan Rakyat Benci Rasuah akan diadakan di ibu negara esok untuk meningkatkan kesedaran masyarakat, khususnya generasi muda, dalam memerangi rasuah.
Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), Universiti Putra Malaysia (UPM), Umar Akhtar Ab Malek berkata, himpunan itu bukan sahaja mampu memberi semangat kepada peserta, tetapi juga menjadi platform penting untuk memupuk rasa benci terhadap rasuah dari peringkat remaja.
Sehubungan itu, Ahli Dewan Negeri Rawang itu memaklumkan, semua pihak seharusnya menunjukkan sokongan terbuka kepada mahasiswa yang berani menyuarakan pendirian menentang rasuah.
Ujarnya, keberanian mahasiswa bersuara secara lantang dalam isu-isu nasional harus diraikan, bukan disekat kerana ianya sebahagian daripada semangat reformasi yang diperjuangkan Pakatan Harapan sejak sekian lama.
“Pada masa yang sama, pihak berkuasa bukan sahaja perlu memberi ruang, tetapi turut bekerjasama secara aktif dengan mahasiswa dan NGO untuk memastikan himpunan dapat dijayakan dengan tertib, aman dan berkesan,
“Ini adalah peluang untuk membuktikan kesungguhan dalam melawan rasuah dengan tindakan konkrit yang selari dengan aspirasi rakyat,” jelasnya lagi.
Dalam masa yang sama, Wei Kiat turut mencadangkan ruang dialog dengan mahasiswa dan NGO perlu diperluaskan agar mesej anti-rasuah dapat diperjuangkan secara lebih berkesan dan inklusif.
Tegasnya, reformasi, bukan sekadar slogan tetapi perlu diterjemahkan dalam tindakan nyata, termasuk memastikan suara rakyat yang menentang rasuah tidak disenyapkan.-airtimes.my
#semasa #airtimes #himpunan #antirasuah #Malaysia #PKR
