Home Pertahanan dan Keselamatan Ops Naga Timur Sabah diperluas: Fokus banteras bot nelayan asing

Ops Naga Timur Sabah diperluas: Fokus banteras bot nelayan asing

A+A-
Reset

KOTA KINABALU, 23 Jan – Operasi Naga Timur Sabah terus diperhebat dengan penekanan terhadap usaha membanteras pencerobohan bot nelayan asing di perairan negara, khususnya di Sabah.

Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) memaklumkan, APMM Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan, telah memperluaskan operasi ini merangkumi perairan Kudat dan Pitas di kawasan Sabah Timur.

Timbalan Pengarah Operasi Maritim Malaysia Negeri Sabah dan W.P Labuan, Kepten Maritim Boon Chin Chau telah mempengerusikan mesyuarat pertama tahun ini bersama ahli Mesyuarat Operasi Koordinasi (MOC) Naga Timur Sabah.

Antara agensi yang terlibat dalam mesyuarat tersebut adalah Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Pasukan Polis Marin (PPM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Jabatan Perikanan Negeri Sabah, dan Jabatan Pelabuhan Dermaga Sabah (JPDS).

“Perbincangan menjurus kepada fokus dalam membanteras Bot Nelayan Asing dari memasuki perairan negara di Negeri Sabah,

“Perluasan Ops Naga Timur Sabah telah dipanjangkan sehingga perairan Kudat dan perairan Pitas di perairan Sabah Timur,” jelas APMM dalam kenyataan pada Khamis.

Mesyuarat ini turut membentangkan pencapaian statistik operasi yang menunjukkan komitmen berterusan semua pihak dalam menangani ancaman pencerobohan di kedaulatan perairan negara.

Pengarah Maritim Negeri Sabah dan W.P Labuan, Laksamana Pertama Maritim Datuk Che Engku Suhaimi Che Engku Daik turut menegaskan bahawa kerjasama antara agensi adalah kunci utama dalam memperkukuhkan pelaksanaan Ops Naga Timur di Sabah.

“Kerajaan komited untuk membanteras kemasukan bot nelayan asing ke perairan negara, dan operasi ini membuktikan kesungguhan kita melindungi hasil laut serta kedaulatan negara,” katanya.

Ops Naga Timur Sabah yang berlangsung di bawah APMM merupakan salah satu langkah strategik untuk memperkasakan kawalan keselamatan maritim dan melindungi sumber perikanan negara daripada ancaman pencerobohan.-airtimes.my

#keselamatan #APMM #TLDM #PPM #airtimes #Malaysia #Sabah

Leave a Reply