LONDON, 24 DIS – Tentera British telah berjaya menguji senjata baharu yang mampu membendung sekumpulan dron dengan menggunakan peralatan pemancar gelombang radio pada kos serendah 10p (56 sen) bagi setiap tembakan.
Menggunakan teknologi sistem Radio Frequency Directed Energy Weapon (RFDEW), senjata tersebut berupaya menjejak, mengesan serta memusnahkan ancaman dari darat, udara, dan laut hampir serta-merta.
Menteri Perolehan dan Industri Pertahanan Britain, Maria Eagle menyifatkan, kejayaan ini sebagai langkah besar dalam membangunkan senjata inovatif yang memberikan kelebihan strategik terhadap ancaman moden United Kingdom (UK).
“Kejayaan penembakan oleh tentera British oleh RFDEW adalah satu lagi langkah ke hadapan sebagai senjata pertahanan kedaulatan untuk UK,” ujarnya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Jelasnya, ujian tembakan secara langsung oleh Unit Percubaan dan Pembangunan Artileri Diraja serta Kumpulan Pertahanan Udara 7 di Wales Barat yang memusnahkan Sistem Udara Tanpa Krew (UAS) berkenaan menandakan pencapaian pertama bagi Angkatan Tentera British.
Mengulas lanjut, senjata gelombang radio ini berkebolehan meneutralkan sasaran sejauh 1 kilometer dan boleh dipasang pada kenderaan tentera seperti MAN SV untuk memastikan mobiliti semasa operasi.
Selain itu, uniknya, RFDEW menggunakan gelombang radio berfrekuensi tinggi untuk mengganggu atau merosakkan komponen elektronik penting dalam dron atau peranti lain, menyebabkan ia tidak berfungsi atau terhempas.
Sebelum ini, AirTimes melaporkan Tentera British telah berjaya menguji Laser Directed Energy Weapon (LEDEW), yang dikenali sebagai DragonFire sebagai usaha membendung ancaman dron.
Meskipun kedua-dua senjata mempunyai fungsi yang sama iaitu menjejak dan memusahkan dron, namun cara pengoperasiannya adalah berbeza.
LEDEW menggunakan pancaran tenaga cahaya untuk membakar atau memotong sasaran, manakala RFDEW pula menggunakan gelombang radio bagi melumpuhkan sasaran sehingga terhempas.
Untuk rekod, projek ini dibangunkan lebih 40 tahun oleh kumpulan yang diketuai oleh Thales UK dengan kerjasama QinetiQ, Teledyne e2v dan Horiba Mira. -airtimes.my.
#TeknologiPertahanan #Keselamatan #Dron #AirTimes