Home Semasa Elak usaha tanam bibit perpecahan kaum – Anwar

Elak usaha tanam bibit perpecahan kaum – Anwar

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 25 Dis – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa sebarang usaha menanam bibit perpecahan antara kaum mesti dihentikan bagi memastikan Malaysia terus maju sebagai negara bangsa yang bersatu dan berjaya.

Dalam perutusan sempena sambutan Hari Krismas hari ini, beliau berkata kepentingan beberapa kelompok tidak boleh mengorbankan perpaduan yang menjadi asas kemakmuran negara.

“Sering saya tekankan betapa perbedaan kaum dan budaya adalah resipi kemakmuran kepada mana-mana negara yang mendambakan kerukunan dan keamanan atas dasar dan prinsip hidup berdamping,

“Sebarang usaha menanam bibit dan gejala memicu pertentangan kaum mesti dielakkan kerana ternyata kita saling memerlu serta melengkapi, terutamanya dalam usaha membina identiti negara bangsa yang berjaya dan berketerampilan,

“Malah, mesti dilonjak nilai dan prinsip keadilan sejagat agar menyemangati hasrat dan harapan besar tokoh dan pendiri bangsa yang mahukan negara ini di baris depan menjulang masa depan dan maruah bangsa,” katanya.

Perdana Menteri dalam hantaran sama turut mengucapkan selamat menyambut Hari Natal kepada seluruh penganut Kristian.

“Acara dan perayaan Krismas tanggal 25 Dis saban tahun kembali menjelang dan menceriakan ramai penganut Kristian di serata dunia dan Malaysia tidak terkecuali,

“Sebagai negara yang beragam dan rencam ras serta budaya, perayaan-perayaan besar seperti ini terus menjadi sumber kekuatan dan perpaduan di kalangan kaum di Malaysia,

“Selamat menyambut Hari Krismas kepada seluruh penganut Kristian, dengan titipan agar luangkan masa yang secukupnya bersama yang tersayang di hari besar ini dan hidupkan kecintaan antara insan,” ujarnya lagi.-airtimes.my

#anwar #harinatal #Malaysia #Kristian #bangsa #airtimes #semasa

Related Articles

Leave a Reply

error: Aha??? Nak buat apa tu?