Helikopter dilihat umpama menjadi salah satu fokus besar dalam dunia pertahanan negara pada tahun ini.
Selain beberapa insiden nahas yang ada diantaranya meragut nyawa, pembatalan kontrak sewa 4 UH-60A Black Hawk dan juga perolehan secara pajakan 28 helikopter kepada agensi kerajaan turut menjadi tumpuan.
Pembatalan UH-60A Black Hawk telah pun dimuktamadkan dengan melihat kenyataan Menteri Pertahanan yang menegaskan kontrak itu dibatalkan secara automatik pada penghujung Oktober.
Belum pun isu pembatalan kontrak tersebut usai dari dada media sosial, perolehan secara pajakan 28 buah helikopter timbul dan menjadi perhatian umum.
Isu perolehan secara pajakan 28 buah helikopter untuk agensi kerajaan, termasuk kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) telah menjadi fokus serta persoalan yang dibangkitkan di Dewan Rakyat.
Sememangnya masuk akal jika kontrak perolehan secara pajakan bernilai RM16.546 bilion untuk 15 tahun menjadi persoalan. Ini memandangkan ianya melibatkan jumlah kewangan yang besar dalam satu tempoh yang lama.
Tambahan pula, kontrak perjanjian perolehan ini telah pun dimeterai pada 19 Disember lalu di antara kerajaan dengan syarikat pembekal, Westar Aviation Group.

Majlis menandatangani Perjanjian Kerjasama Awam-Swasta Bagi Pajakan Helikopter Untuk Kegunaan Kementerian dan Agensi Kerajaan telah pun berlangsung di Putrajaya, pada 19 Disember lalu. Foto: TUDM
Untuk rekod, perolehan secara “Lease-to-own” (sewa untuk memiliki) ini dilaksanakan melalui Unit Kerjasama Awam Swasta, Jabatan Perdana Menteri (UKAS, JPM).
Kesemua 28 buah helikopter tersebut akan diserahkan kepada agensi-agensi kerajaan dan juga badan keselamatan. 2 buah daripadanya adalah untuk kegunaan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan 12 buah lagi untuk Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).
7 unit lagi adalah untuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), 4 kepada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, 2 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan sebuah lagi untuk Jabatan Perdana Menteri (JPM).
Sudah tentu perolehan secara big ticket sebegini akan menjadi persoalan dan tidak kurang juga menjadi sasaran pengadilan secara umum (trial by public). Lemparan naratif berbentuk persoalan dan juga spekulasi negatif pun tidak kurang akan pasang surutnya.
Senario ini sudah tentu mengingatkan kita bagaimana kepincangan naratif dan sentimen terhadap perolehan 12 buah helikopter EC-725 Caracal (kini H225M) terhadap untuk TUDM pada satu ketika dahulu.
Menolak tepi sentimen politik dan juga gosip dalam dunia pertahanan (ya, dunia pertahanan ada gosip tersendiri), isu perolehan 28 buah helikopter ini adalah wajar dirungkaikan secara teliti dan satu persatu.
Sewa atau beli?
Konsep perolehan secara sewa beli terhadap aset ketenteraan bukanlah sesuatu yang baharu, sama ada di peringkat tanah air dan juga antarabangsa, seperti mana yang pernah disiarkan oleh Air Times sebelum ini.
Malah, konsep sewa beli ini pernah ditawarkan kepada Malaysia tatkala persaingan perolehan Jet Pejuang Pelbagai Peranan (Multi Role Combat Aircraft, MRCA) sedang hangat melanda negara.
Berbalik kepada isu perolehan 28 buah helikopter yang menjadi fokus umum, perkataan sewa telah menjadi salah satu titik perdebatan umum. Malah, perkataan sewa telah memberikan sentimen negatif kepada perolehan ini.
Hakikatnya, perolehan ini tidak sekadar sewa sahaja. Perkara ini telah dirungkaikan oleh Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin di Dewan Rakyat yang menyatakan perolehan ini adalah wajar.
“Ia melibatkan 28 unit helikopter dan akan memberi manfaat bukan saja kepada ATM tetapi juga agensi-agensi keselamatan negara yang lain,
“Tujuan utama adalah untuk memenuhi keperluan agensi pengguna menjalankan operasi udara harian dan misi-misi tertentu selain daripada peperangan,” kata Menteri Pertahanan semasa sesi penggulungan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2025 di Dewan Rakyat pada November lalu.
Dalam sesi penggulungan yang sama, Menteri Pertahanan menyatakan kontrak perolehan tersebut memberikan pilihan kepada kerajaan untuk membeli kesemua 28 unit aset tersebut pada harga nominal RM1 sahaja yang mana selepas 15 tahun.
Sumber memaklumkan kepada Air Times bahawa nilai akhir setiap helikopter adalah antara 10 peratus hingga 15 peratus harga semasa helikopter.
Melihat kepada ucapan penggulungan Menteri Pertahanan, anggaran tersebut adalah bernilai antara RM30 juta hingga RM50 juta seunit.
“Maknanya selepas 15 tahun, kerajaan diberi pilihan untuk membeli kesemua 28 unit aset tersebut pada harga nominal RM1 sahaja,
“Selepas 15 tahun, penggunaan setiap aset tersebut dianggarkan bernilai antara RM30 juta hingga RM50 juta seunit,
“Tetapi, kerajaan ditawarkan hanya membeli RM1 walaupun satu unit itu antara RM30 juta hingga RM50 juta,” kata Khaled Nordin semasa penggulungan.
Secara jelas, perolehan yang digembar-gemburkan ini bukanlah sekadar sewaan semata-mata tetapi memberikan peluang kepada kerajaan untuk membelikan aset pada harga yang murah berbanding harga semasa.
Jadi, persoalannya – jika dikatakan murah, bagaimana pula dengan kos lain? Adakah ianya berbaloi?
Berbaloi atau tidak dari sudut kewangan dan kos, sewajarnya persoalan ini perlu dilihat dari sudut yang berbeza. Benar, kedaulatan dan keselamatan negara tiada tolok bandingnya jika dipadankan dari sudut kewangan.
Namun, kita tidak mampu untuk memilih jika melihat beberapa perolehan yang tidak berjaya dilaksanakan berikutan senario kekangan kewangan serta ekonomi dihadapi oleh negara dalam tempoh kebelakangan.
Persoalan mengani skop, mekanisme pelaksanaan dan penjimatan akan dirungkaikan dalam artikel akan datang.-airtimes.my
#pertahanan #ATM #Malaysia #airtimes