Home Pertahanan dan KeselamatanTentera Darat PATI India dicekup ketika cuba seberang Sungai Golok

PATI India dicekup ketika cuba seberang Sungai Golok

by Nurulhuda

TANAH MERAH, 24 Dis – Dua pendatang asing tanpa izin (PATI) warga India dicekup ketika cuba menyeberangi Sungai Golok untuk keluar dari negara ini pada Ahad.

Markas Divisyen Kedua Infantri Malaysia (2 Div) dalam satu kenyataan memaklumkan, perbuatan tersebut dikesan pada jam 10.15 malam ketika mereka menggunakan laluan yang tidak sah di sempadan Malaysia-Thailand.

“Kejadian tersebut berlaku di sektor kawasan tanggungjawab Briged Kelapan Infantri Malaysia (8 Bgd),

“Pasukan beroperasi yang melaksanakan rondaan telah berjaya mengesan 3 orang lelaki yang berada di tebing Sungai Golok di sebelah Malaysia cuba untuk menyeberangi Sungai Golok menuju ke arah sebelah Thailand,

“Seorang daripada lelaki tersebut telah berjaya melarikan diri ke arah Thailand dengan menyeberangi Sungai Golok manakala dua orang lelaki tidak sempat melarikan diri,” jelas kenyataan itu.

Menurut 2 Div, kedua-dua lelaki tersebut mendakwa ingin pulang ke negara India melalui Thailand yang telah diaturkan oleh lelaki yang berjaya melarikan diri.

Tambahnya, dipercayai lelaki tersebut merupakan ejen yang mengaturkan perjalanan kedua-dua orang lelaki warganegara India yang telah ditahan.

“Berdasarkan kepada pemeriksaan, didapati kedua-dua lelaki tersebut memiliki pasport antarabangsa negara India yang masih sah sehingga tahun 2028,

“Kedua-dua mereka telah memasuki Malaysia pada tahun 2022 melalui pintu masuk yang sah dengan menggunakan visa pelancong,” tambah pihak 2 Div.

Pihak 2 Div menjelaskan, turut ditemui adalah beberapa buah telefon bimbit serta jam tangan pelbagai jenama, beberapa keping matawang India dan Malaysia.

Jumlah keseluruhan nilai barang rampasan adalah sebanyak RM4,746.27. Kedua-dua lelaki tersebut telah diserahkan kepada IPD Tanah Merah untuk tindakan selanjutnya.

Tambah kenyataan itu, ini merupakan kejayaan kedua pasukan operasi Tenera Darat Malaysia (TDM) memberkas PATI warganegara India.

Sebelum ini pasukan operasi telah berjaya menahan 2 orang lelaki warganegara India memiliki pasport yang sah memasuki Malaysia melalui jalan yang tidak sah dengan merentasi Sungai Golok melalui Pengkalan Haram.

Sehubungan itu, 2 Div memaklumkan, pasukan beroperasi akan terus memperketatkan kawalan di sempadan negara bagi mengekang aktiviti jenayah rentas sempadan khususnya kemasukan PATI.

“TDM akan terus komited bagi memastikan keselamatan di sempadan negara dan tidak akan berkompromi dengan sebarang aktiviti jenayah rentas sempadan,” jelas kenyataan itu lagi.-airtimes.my

#TDM #PATI #India #Malaysia #sempadan #Thailand #8bgd #airtimes

 

Related Articles

Leave a Reply

error: Aha??? Nak buat apa tu?