LUBNAN, 24 Dis – Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL) menyeru agar pengunduran Pasukan Pertahanan Israel (IDF) dari selatan Lubnan dipercepatkan, di samping memastikan penempatan Angkatan Tentera Lubnan (LAF) di kawasan tersebut dapat dilaksanakan segera.
Dalam kenyataan pada Isnin, UNIFIL menegaskan kepentingan semua pihak untuk menghentikan sebarang pelanggaran Resolusi 1701 Majlis Keselamatan PBB dan mengelak daripada tindakan yang boleh menggugat kestabilan rapuh yang sedang dikecapi.
Gencatan senjata antara Israel dan Hezbollah kini memasuki bulan kedua, namun proses pengunduran Israel dari kawasan selatan masih bergerak perlahan.
Kenyataan UNIFIL itu dikeluarkan selepas Perdana Menteri Lubnan, Najib Mikati, menggesa Amerika Syarikat dan Perancis untuk meningkatkan tekanan terhadap Israel agar mempercepatkan pengunduran mereka.
Dalam lawatan ke selatan Lubnan bersama Panglima LAF, Jeneral Joseph Aoun, Najib Mikati mengunjungi kampung Khiam, kawasan yang baru-baru ini menyaksikan pengunduran IDF dan penempatan semula LAF dengan sokongan UNIFIL.
“Pasukan pengaman akan terus memantau serta melaporkan sebarang pelanggaran Resolusi 1701, dan menyokong usaha untuk mengembalikan kestabilan serta penghentian permusuhan,” kata Ketua Misi dan Komander Pasukan UNIFIL, Leftenan Jeneral Aroldo Lázaro.
Resolusi 1701 Majlis Keselamatan PBB diluluskan untuk memastikan gencatan senjata dan mengurangkan ketegangan di kawasan sempadan Lubnan-Israel.-airtimes.my
#UNIFIL #Lubnan #Malaysia #MALBATT #airtimes #semasa