Home Sejarah Kolumnis: Hari Natal 1941, kejatuhan Ipoh dan pertahanan British di Kampar

Kolumnis: Hari Natal 1941, kejatuhan Ipoh dan pertahanan British di Kampar

by Zaki Salleh

Hampir tiada keterujaan pada tentera British untuk menyambut Hari Natal yang tiba pada 25 Disember 1941 tatkala berdepan dengan kemaraan hebat tentera Imperial Jepun.

Pada saat tersebut, Batalion British sedang membuat persediaan pertahanan di Kampar bagi menyekat kemaraan tentera Jepun.

Mengikut catatan sejarah, pegawai dan anggota tentera British ini masih sempat meraikan petang Hari Natal dengan seadanya sebagai usaha untuk menaikkan moral.

Mereka seolah-olah tahu bahawa ini menjadi sambutan Hari Natal paling buruk, manakala nasib empayar British di Tanah Melayu umpama telur di hujung tanduk.

Lima hari sebelumnya, iaitu pada 20 Disember 1941, saki baki tentera British dari 1st Leicestershire dan 2nd East Surreys telah digabungkan untuk membentuk Batalion British di Ipoh.

Atau lebih tepat lagi gabungan ini dibentuk di St. Michael Institution, Ipoh (kini Sekolah Menengah Kebangsaan St Michael) semasa berlindung di sana.

St. Michael Institution yang masih berdiri megah hari ini menyimpan sebahagian sejarah tentang Perang Dunia Kedua di Ipoh.

Sekolah ini juga dijadikan hospital sementara untuk menempatkan anggota tentera British yang cedera sebelum dipindahkan.

Tugu empayar British di Tanah Melayu di St. Michael Institution, Ipoh (kini Sekolah Menengah Kebangsaan St Michael).

Batalion gabungan ini kemudiannya dihantar ke Kampar bagi menyekat kemaraan tentera Jepun seterusnya.

Dengan bekalan yang ada, Kampar sepatutnya boleh bertahan lebih tiga bulan iaitu masa yang cukup sekiranya pihak tentera Berikat ingin melancarkan serangan balas dan menyusun kekuatan semula.

Tanpa mereka ketahui, Pertempuran Kampar yang berlaku pada 30 Disember 1941 hingga 2 Januari 1942 kemudian mencatatkan nama mereka dalam sejarah Perang Dunia Kedua di Tanah Melayu.

Walaupun berlangsung tiga hari, peperangan di Kampar bagaimana pun tidak sama seperti di Jitra.

Pertempuran Kampar menjadi epik keberanian tentera British apabila tentera Jepun benar-benar bertemu buku dengan ruas apabila tidak menyangka tentangan sengit diberikan.

Turut terlibat dalam Pertempuran Kampar ialah komposit Jat-Punjab Regiment iaitu gabungan Batalion 1/8th Punjab Regiment dan 2/9th Jat Regiment.

1st Leicestershire sebelumnya adalah sebahagian daripada 6 Briged Infantri India manakala 2nd East Surrey adalah 15 Briged Infantri India yang bertahan di Jitra.

Taktik pertempuran tentera British diketuai Mejar Jeneral David Murray-Lyon yang sepatutnya mampu bertahan selama tiga bulan, hanya bertahan tiga hari selepas diasak hebat lawan.

Pertempuran di Jitra memberi tekanan kepada pihak berikat bagaimana kemampuan taktikal Jepun di medan tempur selain bantuan kereta kebal ‘mini’ yang membuktikan kehebatan.

Teori British yang menegaskan bahawa muka bumi Tanah Melayu tidak sesuai dengan penggunaan kereta kebal akhirnya memakan diri apabila berdepan dengan ketumbuhan kereta kebal mini Jepun.

Sebelum itu, pada 15 Disember 1941 pesawat-pesawat udara Jepun melakukan pengeboman ke atas dua lokasi di Perak iaitu Ipoh dan Taiping

Sasaran Jepun di Ipoh ialah beberapa bangunan yang dianggap penting selain Aerodrome Ipoh.

Antara yang mengalami kerosakan adalah sebahagian atap bangunan St. Michael Institution, Ipoh yang rosak terkena tembakan mesingan pesawat udara Jepun.

Begitu juga kerosakan berlaku di bandar Taiping apabila beberapa bangunan termasuk rumah kedai dibom Jepun.

Bagaimana pun, serangan udara ini dilihat tidaklah bertujuan untuk memberi kemusnahan besar ke atas kedua-dua bandar tersebut kerana Taiping dan Ipoh mempunyai kepentingan tersendiri.

Taiping kemudian menjadi pusat pentadbiran negeri Perak semasa era pendudukan Jepun manakala Ipoh yang mempunyai prasarana sebagai bandar bijih timah terus memainkan peranan.

Semasa berundur, tentera British juga telah bertindak meletupkan dua penghubung strategik yang merentasi Sungai Perak iaiatu Jambatan Victoria dan Jambatan Sultan Iskandar, kedua-duanya di Kuala Kangsar pada 23 Disember.

Plak bagi memperingati peristiwa tersebut kini di pasang berdekatan jambatan berkenaan inisiatif kumpulan pengkaji sejarah Perang Dunia Kedua tanah air, Malaya Historical Group Society (MHGS).

Ipoh jatuh ke tangan tentera Jepun hanya beberapa hari selepas tentera-tentera British yang berkumpul di St. Michael Institution meninggalkan bandar tersebut ke untuk bertahan di Kampar.

Lebih tepat lagi, bandar yang mendapat jolokan sebagai bandar jutawan ini disebabkan hasil kekayaan bijih timah yang melimpah dikuasai Jepun sehari selepas Hari Natal, 26 Disember 1941.-airtimes.my

#sejarah #Ipoh #Malaysia #HariNatal #British

Related Articles

Leave a Reply

error: Aha??? Nak buat apa tu?