Kemajuan pembangunan pertahanan serantau nampaknya semakin ketara dengan negara-negara jiran mula menerima dan mempamerkan aset baharu.
Pembelian tersebut juga menyaksikan penerimaan teknologi baharu yang mana ia juga menyaksikan perubahan taktikal dengan penyesuaian mengikut negara pengguna.
Negara jiran Filipina minggu lalu menerima lima lagi helikopter S-70i Black Hawkita buatan firma Poland, PZL Mielec.
Pesawat-pesawat tersebut tiba di Pangkalan Udara Clark, Angeles City, Pampanga dan merupakan penghantaran kedua untuk tahun ini.
Helikopter ini seterusnya menjalani pemeriksaan dan penerimaan teknikal sebelum dioperasikan Tentera Udara Filipina (PAF).
Sebelum ini, lima helikopter Black Hawk dihantar pada 10 Jun lalu dan telah pun ditugaskan.

Kerajaan Filipina minggu lalu menerima lima lagi helikopter S-70i Black Hawkita buatan firma Poland, PZL Mielec.
Penerimaan 10 buah helikopter S-70 ini adalah sebahagian daripada 32 pesawat yang dibeli kerajaan Filipina pada 22 Februari 2022 bernilai AS$624 juta atau kira-kira RM2.7 bilion.
Kontrak itu termasuk pakej sokongan logistik awal dan latihan untuk juruterbang dan krew penyelenggaraan.
Baki 15 lagi helikopter S-70i dijangka dihantar menjelang 2025 manakala tujuh buah lagi diserahkan menjelang 2026.
Kerajaan Filipina sebelum itu membeli 16 buah helikopter Black Hawk daripada PZL Mielec yang dihantar dari 2020 hingga 2021 dengan harga AS$241.5 juta (RM1.07 bilion).
Indonesia pula mempamerkan keupayaan kuasa maritimnya menerusi latihan penembakan peluru berpandu Exocet MM40 Block III yang dilancarkan kapal friget KRI Raden Eddy Martadinata.
Latihan Operasi Laut Gabungan (Latopslagab) 2024 pada 10 Disember lalu itu menjadikan Pulau Gundul, sebuah pulau tidak berpenghuni di Laut Jawa sebagai sasaran.

Latihan penembakan peluru berpandu Exocet MM40 Block III yang dilancarkan kapal friget KRI Raden Eddy Martadinata.
KRI Raden Eddy Martadinata adalah frigat kelas Martadinata yang ditauliahkan pada 2017 dibina PT PAL Indonesia berasaskan kapal kelas Sigma buatan Belanda.
Pemilikan sistem peluru berpandu Exocet MM40 Block III juga melonjakkan keupayaan angkatan laut Indonesia dengan kemampuan menjangkau sasaran sehingga 200km.
Sepanjang tahun ini sahaja tentera laut negara jiran itu telah melakukan enam latihan penembakan Exocet.
Seperkara lagi yang menarik, Latopslagab 2024 ini turut membabitkan penembakan roket RM-70 Grad Marinir dari atas geladak kapal pendarat KRI Teluk Amboina.
KRI Teluk Amboina, kapal yang berusia lebih 60 tahun dan merupakan aset paling tua dalam armada TNI-AL.
Bagaimana pun, pemikiran taktikal dan strategi secara praktikal menyaksikan pelancar roket RM-70 Grad Marinir diletak di atas kapal sebagai platform bergerak.
Kor Marinir Indonesia memiliki 17 buah pelancar RM-70 Grad buatan Republik Czech.
Selain itu, negara jiran ini turut memiliki 36 buah sistem MLRS Astross II.
Menoleh jauh ke timur pula, Taiwan menarik perhatian pemerhati pertahanan apabila menerima 38 buah kereta kebal Abrams M1A2T dari Amerika Syarikat.

Taiwan menerima 38 kereta kebal tempur Abrams dari Amerika Syarikat, kata kementerian pertahanan hari ini sekali gus kereta kebal baharu pertama Taipei dalam tempoh 30 tahun. Foto: AFP
Washington meluluskan penjualan kereta kebal bernilai $2 bilion pada 2019 bagi memperkukuhkan kekuatan negara tersebut yang berdepan ancaman China.
Pembelian 108 buah MBT Abrams generasi baharu ini untuk menggantikan kira-kira 1,000 kereta kebal CM11 Brave Tiger buatan tempatan dan M60A3 yang teknologinya semakin ketinggalan.
Penghantaran seterusnya kumpulan kedua dan ketiga 42 dan 28 M1A2T dijangka tiba menjelang 2026.
Bermakna, Taiwan pasti membuat pembelian tambahan kereta kebal ini secara berperingkat-peringkat.
Doktrin Taiwan meletakkan keutamaan untuk menangkis serangan amfibia China menerusi kekuatan artileri dan pertahanan pantai.
Ketumbukan kereta kebal pula menjadi penukul kepada pasukan lawan dengan digembleng bersama skuadron helikopter penggempur AH-64 Apache.
Perkembangan ketenteraan serantau termasuk Taiwan ini jangan dilihat sebagai satu perlumbaan senjata atau hendak mempamerkan kekuatan.
Sebaliknya, ia menunjukkan iltizam negara-negara berkenaan untuk memastikan aset ketenteraan dimiliki berperanan sebagai cegah rintang dalam pertahanan.-airtimes.my
#pertahanan #Malaysia #aset #Taiwan #Indonesia