Home Diskusi Ancaman perisik terhadap kedaulatan sesebuah negara

Ancaman perisik terhadap kedaulatan sesebuah negara

by Zulhaizi Rosdi

Mutakhir ini, dunia sedang bergelumang dengan konflik antarabangsa yang semakin lama semakin meruncing malah seolah-seolah tidak menunjukkan tanda-tanda perdamaian . Ini dapat kita lihat di beberapa negara bergolak seperti di Palestin dan juga konflik antara Rusia-Ukraine.

Di sebalik cetusan dan pergolakan, perisik atau pengintip merupakan satu elemen penting bagi sesebuah negara atau organisasi dalam mengumpul maklumat berkenaan musuh terutamanya bagi negara-negara yang sedang bergolak.

Aktiviti perisikan, merupakan satu seni peperangan yang telah bertapak lama dalam peradaban manusia. Walaupun arus pemodenan dan dunia semakin moden, ancaman daripada kegiatan ini  hakikatnya tetap menjadi ancaman besar terhadap keselamatan sesebuah negara.

Perisik atau ejen risikan bukan sahaja bertindak sebagai pengumpul maklumat, malah berupaya mencetuskan ketidakstabilan politik, ekonomi, dan sosial.

Sejarah dunia telah membuktikan bahawa pengintipan memainkan peranan penting dalam konflik dan perang, namun dalam konteks moden, ancamannya menjadi lebih meluas dan kompleks.

Perisik ialah individu atau ejen yang ditugaskan untuk mengumpul maklumat sulit mengenai negara sasaran, organisasi, atau individu penting.

Mereka boleh bekerja untuk kerajaan, agensi risikan, atau kumpulan berkepentingan yang bertujuan untuk mencapai matlamat strategik, sama ada politik, ekonomi atau ketenteraan.

Ejen perisikan ini kebiasaannya menjalankan aktiviti secara senyap atau membuat penyamaran tanpa diketahui orang lain sehinggakan individu-individu yang berada di sekeliling mereka atau organisasi, syarikat tidak menyedari yang sebenarnya mereka sedang diintip.

Selain itu, perisik menjalankan tugas untuk memerhati dan menganalisis gerak-geri atau aktiviti sasaran.

Selain itu, meraka turut fokus kepada pengumpulan maklumat penting seperti strategi ketenteraan, ekonomi, senjata nuklear atau pergerakan pihak musuh.

Pengintip ini juga merupakan individu mempunyai keupayaan serta kebolehan tertentu bagi melaksanakan tugas risikan secara berkesan.

Antaranya, perisik mampu menyembunyikan identiti sebenar dan menyusup masuk ke dalam komuniti atau organisasi sasaran, kebolehan mengenalpasti maklumat kritikal daripada data yang besar dan rumit, mahir berkomunikasi, mahir dalam penggunaan teknologi dan alat risikan serta mempunyai daya ketahanan fizikal dan mental yang tinggi.

Dalam masa sama, perisik berpotensi untuk mengancam keselamatan sesebuah negara, terutamanya dalam negara-negara konflik atau kawasan yang mempunyai ketegangan geopolitik.

Kehadiran perisik sering dikaitkan dengan operasi sulit yang boleh menggugat kestabilan negara, sama ada melalui pengumpulan maklumat sensitif, penyusupan dan pengintipan, sabotaj, atau pengaruh politik.

Malah, perisik juga boleh ditugaskan untuk membunuh pemimpin politik, komander tentera atau aktivis yang dianggap sebagai ancaman.

Tugas ini bertujuan untuk melemahkan kepimpinan negara atau merosakkan moral lawan.

Sebagai contoh ialah pembunuhan saintis nuklear Iran, Mohsen Fakhrizadeh pada 2020 yang dipercayai didalangi oleh Mossad.

Antara kes terkenal yang pernah menggemparkan dunia suatu ketika dahulu berhubung penangkapan ejen perisikan ialah perisik Mossad bernama Eli Cohen di Syria.

Beliau menyamar sebagai Kamel Amin Thaabet dan berjaya menyusup ke dalam hierarki tertinggi kerajaan Syria pada awal 1960-an.

Cohen hampir dilantik memegang portfolio tinggi kerajaan Syria sebelum identitinya terbongkar. Dia kemudiannya ditangkap pada Januari 1965 dan dihukum mati pada Mei tahun yang sama.

Manakala, pada tahun 2024 pula ketika perang Rusia-Ukraine tercetus, perkhidmatan keselamatan Ukraine mengumumkan penangkapan beberapa individu yang didakwa sebagai perisik yang bekerja untuk negara Rusia.

Mereka dituduh mengumpul maklumat mengenai operasi ketenteraan Ukraine di wilayah konflik timur negara itu.

Kes-kes ini menunjukkan bahawa dalam situasi konflik, aktiviti perisikan menjadi lebih intensif, dengan pelbagai negara berusaha mendapatkan maklumat strategik melalui ejen perisik.

Berdasarkan pengamatan terhadap peristiwa penangkapan ini, pihak kerajaan terutama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan agensi keselamatan lain perlu mengambil langah-langkah komprehensif melibatkan ketenteraan, keselamatan siber, undang-undang, serta pendidikan dan kesedaran rakyat.

Antaranya pihak kerajaan perlu keselamatan siber, meningkatkan kawalan sempadan dan sistem pengawasan, meningkatkan latihan Kontra-Risikan, membuat kerjasama antarabangsa serta meningkatkan kesedaran dan patriotisme rakyat.

Justeru, kerajaan perlu mengambil pendekatan menyeluruh yang melibatkan semua aspek keselamatan, teknologi, undang-undang, dan pendidikan bagi memastikan negara dilindungi daripada ancaman pengintipan oleh ejen luar.

Langkah-langkah ini bukan sahaja mempertahankan maklumat sulit negara, tetapi juga memastikan kedaulatan dan kestabilan negara terus kekal terpelihara. -airtimes.my

#ejenperisikan #pengintip #risik #ancaman #konflik #antarabangsa #Malaysia #Airtimes

Related Articles

Leave a Reply

error: Aha??? Nak buat apa tu?