Home Diskusi Bahaya ‘Sharenting’: Kongsi kebahagiaan bawa padah keselamatan, privasi kanak-kanak

Bahaya ‘Sharenting’: Kongsi kebahagiaan bawa padah keselamatan, privasi kanak-kanak

by Muhammad Izzat

Sharenting mungkin agak janggal disebut dan jarang didengari. Hakikatnya, ia adalah trend yang semakin meningkat pada mutakhir ini. Sharenting merupakan tindakan ibu bapa berkongsi gambar atau maklumat tentang anak-anak mereka di media sosial yang mana semakin menjadi perhatian atas risiko keselamatan dan privasi.

Walaupun niatnya adalah untuk berkongsi kebahagiaan atau perkembangan anak-anak, tindakan ini boleh membawa kesan jangka panjang yang tidak disedari.

Pendedahan berlebihan boleh membuka ruang kepada ancaman seperti pencurian identiti dan eksploitasi.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, menegaskan bahawa amalan ‘sharenting’ atau amalan menunjuk-nunjuk perkara berkaitan anak-anak oleh segelintir ibu bapa, membuka ruang kepada jenayah dalam talian terutama melibatkan golongan kanak-kanak.

Sharenting bukan hanya melibatkan gambar atau video, tetapi juga maklumat seperti lokasi sekolah, tarikh lahir, dan aktiviti harian. Jika data ini jatuh ke tangan pihak tidak bertanggungjawab, ia boleh digunakan untuk menjejaskan keselamatan kanak-kanak, sama ada secara dalam talian atau di dunia nyata.

Sharenting juga memberi kesan kepada privasi jangka panjang kanak-kanak. Dalam dunia digital hari ini, maklumat yang dimuat naik ke internet sering kekal selama-lamanya. Apabila anak-anak ini membesar, mereka mungkin tidak bersetuju dengan pendedahan maklumat peribadi mereka oleh ibu bapa.

Konflik ini bukan sahaja melibatkan isu etika tetapi juga undang-undang, terutamanya di negara-negara yang memperkenalkan hak privasi kanak-kanak.

Bagi mengurangkan risiko, ibu bapa disarankan untuk mengambil langkah berjaga-jaga seperti mengawal tetapan privasi media sosial dengan memastikan hanya rakan terdekat dapat melihat kandungan yang dikongsi, mengelak memuat naik maklumat sensitif seperti lokasi sekolah atau jadual harian.

Mendidik diri tentang keselamatan siber dengan memahami risiko sharenting dan sentiasa mengemas kini pengetahuan tentang ancaman dalam talian,

Hak anak-anak perlu dihormati dengan memikirkan masa depan mereka dengan meminta kebenaran apabila mereka sudah cukup matang untuk memahami media sosial.

Kesedaran mengenai bahaya sharenting perlu dipupuk bukan sahaja dalam kalangan ibu bapa tetapi juga masyarakat. Institusi pendidikan dan organisasi masyarakat boleh memainkan peranan penting dengan menganjurkan program kesedaran tentang keselamatan digital. -airtimes.my

#airtimes #sharenting #keselamatandigital #privasi #kanakkanak

Related Articles

Leave a Reply

error: Aha??? Nak buat apa tu?