Home Semasa Taiwan terima 38 M1A2T Abrams, nantikan baki 70 unit

Taiwan terima 38 M1A2T Abrams, nantikan baki 70 unit

by Suraya Aziz

Ketibaan kereta kebal M1A2T Abrams di Perbandaran Hukou, Taiwan pada Isnin bukan sekadar penambahan aset ketenteraan biasa namun boleh dilihat sebagai lonjakan strategik yang mampu mengubah lanskap pertahanan Taiwan terhadap ancaman China.

Pada Isnin, sebanyak 38 unit pertama daripada 108 kereta kebal yang dibeli dari Amerika Syarikat telah tiba dengan selamat di Daerah Hsinchu. 

Baki 42 unit pula dijangka tiba pada tahun 2025, manakala 28 unit terakhir akan menyusul pada tahun 2026.

Mengikut laporan Taiwan Times, sebanyak 10 unit akan ditempatkan di Komando Latihan Perisai dan Sekolah Perisai di Hukou bagi tujuan latihan manakala 98 unit lagi akan dikerahkan ke Briged Ke-269 di Linkou dan Briged Ke-584 di Hukou. 

Penempatan strategik ini bertujuan memastikan kereta kebal tersebut berada di lokasi kritikal untuk mempertahankan garis pantai Taiwan.  

MIA2T yang dibeli daripada negara pengeluar Amerika Syarikat (AS). (Foto: Ministry of National Defense, ROC(Taiwan))

Mengulas lanjut, kereta kebal M1A2T yang diperolehi melalui kaedah pembelian bernilai RM9.78 billion pada tahun 2019 ini merupakan varian moden yang terkenal dengan keupayaan tempurnya. 

Kereta kebal ini dilengkapi dengan perisai canggih yang sukar ditembusi peluru anti-perisai dan dilengkapi meriam smoothbore 120mm M256.

Dalam pada itu, sistem Pandu dan Kawalan Api (FCS) yang digunakan membolehkan M1A2T beroperasi dengan ketepatan tinggi dalam pelbagai kondisi cuaca, sama ada ketika statik atau bergerak. 

Keupayaan ini turut membolehkannya beroperasi secara serentak dengan helikopter serang AH-64E Apache, memberikan Taiwan kelebihan taktik dalam pertempuran darat.  

Perolehan besar ini dilaksanakan bagi menyaingi teknologi canggih kenderaan tempur amfibia Type 05 China sekali gus mengisi kelompongan terhadap kereta kebal Taiwan yang lebih tua seperti M60A3 dan CM11.

CM-11 Brave Tiger, Taiwan military tank (Foto: Ministry of National Defense, ROC(Taiwan))

Untuk rekod, pertahanan Taiwan menggunakan strategi 5 lapisan bagi operasi anti-pendaratan musuh iaitu peluru berpandu anti kapal di barisan pertama.

Thunderbolt-2000 multiple-launch rocket system, M109 self-propelled howitzers serta High Mobility Artillery Rocket System (HIMARS) rocket systems pula unit di barisan kedua.

Diikuti dengan helikopter serang AH-64E Apache di barisan ketiga dan Land-based TOW missiles di belakangnya. 

Manakala kereta kebal M1A2T,  CM-34 Clouded Leopard, Mk44 Bushmaster 30mm chain guns berfungsi sebagai  sokongan tambahan kepada tentera.

Walau bagaimanapun, ketibaan M1A2T ini tidak disenangi China.

Umum mengetahui, China sentiasa menganggap Taiwan sebagai sebahagian daripada wilayahnya dan sebarang usaha memperkukuh pertahanan pulau itu dilihat sebagai cabaran terhadap dasar “Satu China” serta meningkatkan ketegangan di rantau Asia Pasifik.

Dalam beberapa bulan kebelakangan ini, Taiwan menerima pelbagai sistem pertahanan baru dari AS untuk meningkatkan keupayaan menghadapi ancaman China.

Sistem yang diterima termasuk MGM-140, HIMARS, peluru berpandu Harpoon, 1,000 dron serangan dan radar jarak jauh. -airtimes.my

#Pertahanan #Taiwan #Teknologipertahanan

Related Articles

Leave a Reply

error: Aha??? Nak buat apa tu?