Desas-desus Kerajaan baru-baru ini, mencadangkan untuk menggubal Akta baharu berkenaan Akta Kebebasan Maklumat yang menjadi agenda utama dalam penggubalan undang-undang berkaitan integriti, tadbir urus dan anti rasuah. Langkah ini bertujuan bagi memperkasakan rakyat dengan memastikan penglibatan dalam proses pembentukan dasar negara.
Seiring masa kini, kecenderungan dalam penggunaan teknologi serba moden dan canggih dilihat kian menjadi keutamaan dalam kehidupan seharian. Khususnya, media sosial yang meliputi pelbagai aplikasi yang membawa manfaat yang besar.
Menerusi kecepatan dan keunggulan teknologi, mempermudahkan sistem komunikasi menjadi lebih pantas dan efisien malah sesuatu maklumat dapat disampaikan secara terus kepada pengguna tanpa halangan. Ini sekaligus, dapat meningkatkan pengetahuan dan membentuk minda yang lebih terbuka.
Meskipun, segala maklumat atau informasi boleh disebarkan secara meluas dan mudah diakses oleh sesiapa sahaja dari seantero dunia, garis panduan dalam penyebaran maklumat tetap perlu dipatuhi dan disaring terlebih dahulu sebelum diuarkan. Ia sebagai penghalang dari tercetusnya kekeliruan serta kemudaratan seperti perbalahan atau kesalahfahaman dalam kalangan masyarakat.
Justeru, menerusi Akta Kebebasan yang bakal diwujudkan bagi memastikan orang awam mendapat kebenaran terhadap maklumat sahih, lebih terbuka dan telus daripada pihak kerajaan. Hal ini demikian, setiap rakyat berhak mendapatkan kebebasan dalam mencari, menerima dan memberikan maklumat melalui apa jua medium.
Sebagai sebuah negara yang mengamalkan sistem demokrasi berparlimen, kebebasan bersuara dalam memberi pandangan merupakan elemen penting yang memberi ruang kepada rakyat terutama dalam kebebasan akhbar. Tanpa kebebasan ini, perubahan yang lebih baik bagi sesebuah negara sukar dicapai. Jika suara rakyat tidak dihargai dan dimanifestasikan, pengurusan pentadbiran kerajaan akan terjejas, dan kehidupan masyarakat tidak akan dapat dilaksanakan dengan sempurna.
Walau bagaimanapun, kebebasan dalam bersuara bukanlah hak yang mutlak malah ia tertakluk kepada had atau sekatan yang telah diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan melalui Perkara 10 (2)(a) juga undang-undang lain di Malaysia. Susulan, penularan maklumat berbentuk negatif atau propaganda dalam dunia digital kini, telah semakin bercambah dan memberi impak yang buruk.
Biarpun Akta tersebut dijangka menjadi Akta baharu, Akta Rahsia Rasmi 1972 (Akta 88) tetap relevan dan menjadi kepentingan untuk mengimbangi kebebasan penyebaran maklumat dalam dunia maya pada hari ini. Hal ini, adakalanya suara rakyat ada yang bercanggah dan tidak konsisten dalam memberi pengaruh yang positif.
Dengan itu, Akta Rahsia Rasmi 1972 (Akta 88) ini sebagai pelindung kepada segala maklumat kerahsiaan rasmi Kerajaan dan menghalang dari kebocoran maklumat yang tidak sah kepada umum melalui media sosial. Sebagaimana penularan maklumat berbaur fitnah, sensasi dan provokasi semakin menjadi dan menimbulkan isu yang boleh merosakkan keharmonian.
“Ia kerana akta ini berperanan untuk menetapkan tatacara pengurusan dan perlindungan kepada rahsia rasmi kerajaan serta menetapkan hukuman atau penalti kepada mana-mana orang yang disyaki membocorkan rahsia rasmi kerajaan,” jelas Menteri di Jabatan Perdana Menteri Dr Zaliha Mustafa.
Maka, Akta Rahsia berperanan sebagai penyelamat dari berlakunya perbalahan, perselisihan faham, ancaman serta persepsi negatif dalam kalangan masyarakat khususnya berkaitan pengurusan pentadbiran kerajaan yang sering menjadi sasaran kecaman dan manipulasi.
Tidak dapat dinafikan arena maya berfungsi sebagai wadah perantara yang menghubungkan individu, selain menjadi sumber pelbagai maklumat yang berguna. Di samping, sebagai panduan buat seseorang dalam menghadapi kehidupan dunia yang sentiasa berubah dari semasa ke semasa.
Secara dasarnya, penggubalan undang-undang dan Akta di negara ini untuk menyelaraskan dan memastikan agar penyampaian maklumat yang berkualiti dan berintegriti. Hal ini, bagi menjamin keselamatan dengan menangkis hasutan serta tipu daya yang boleh merosakkan pemikiran masyarakat dan kestabilan negara.
Pembangunan sebuah negara yang majmuk dan harmoni adalah bilamana mampu mendengar dan menerima kehendak dan pemikirann rakyat yang kritis , di samping turut meneliti dan membudayakan aspek keselamatan serta perlindungan dalam penyaluran maklumat. -airtimes.my
#AirTimes #AktaRahsiaRasmi #AktaKebebasan #Teknologi #Mediasosial #Malaysia