Home Diskusi Kebocoran maklumat sulit beri ancaman besar terhadap sesebuah negara

Kebocoran maklumat sulit beri ancaman besar terhadap sesebuah negara

by Zulhaizi Rosdi

Kebocoran maklumat rahsia negara merujuk kepada pendedahan atau penyebaran maklumat rahsia milik kerajaan, agensi atau entiti lain yang boleh membuat kepada ancaman kepada kedaulatan dan integriti sesebuah negara.

Maklumat rahsia ini merangkumi dokumen rasmi kerajaan, data strategik, pelan keselamatan, maklumat perisikan, strategi perang atau apa-apa perkara yang dianggap penting terhadap keselamatan dan kepentingan negara.

Maklumat sulit ini juga merupakan sesuatu aset penting yang perlu dilindungi melalui sistem teknologi keselamatan yang ketat dah sukar untuk ditembusi oleh mana-mana penggodam yang menceroboh sistem komputer kerajaan.

Akses kepada maklumat ini kebiasaannya hanya diberikan kepada individu atau pihak tertentu yang mempunyai kuasa dan tanggungjawab dalam mengendalikan dokumen rahsia negara.

Proses pemberian akses perlu dilaksanakan melalui sistem tapisan yang rapi dan tertakluk kepada peraturan yang ketat dalam memastikan segala maklumat kerahsiaan negara terjamin.

Sekiranya maklumat kerahsiaan ini bocor atau diberikan kepada individu atau pihak asing, ia pastinya akan memberi kesan yang teruk kepada sesebuah negara sehingga boleh melemahkan sistem kerajaan.

Punca kebocoran maklumat sulit negara selalunya berlaku akibat daripada serangan siber, kelemahan dalaman, pengkhianatan mana-mana individu atau organisasi, kecurian dokumen atau peranti maklumat sulit dan sistem teknologi maklumat yang tidak dilindungi dengan baik.

Malah, kebocoran dokumen rahsia ini juga akan menjejaskan sistem negara sehingga boleh diancam dengan keselamatan, ketidakstabilan politik, ekonomi, meningkatkan ketegangan hubungan antarabangsa dan menyebabkan risiko kehilangan nyawa serta keselamatan individu tertentu.

Antara peristiwa terkenal berhubung kebocoran maklumat sulit negara ialah kebocoran maklumat rahsia perang Ukraine pada tahun 2023.

Dokumen rahsia tentang strategi perang Ukraine melawan Rusia ketika itu telah bocor dalam talian yang mana kebocoran maklumat rahsia itu merangkumi rancangan senjata, tarikh operasi dan kekuatan tentera NATO di rantau itu.

Kebocoran dokumen ini sekaligus telah memberikan kelebihan kepada Rusia dalam merancang tindakan balas serta akan merumitkan lagi hubungan antara sekutu NATO dan Ukraine.

Baru-baru ini juga, beberapa dokumen Pentagon juga telah bocor pada 1 Oktober lalu yang memperincikan persiapan Israel untuk serangan ke atas Iran sebagai tindak balas terhadap serangan peluru berpandu Tehran sehingga memberi keresahan kepada AS dan Israel.

Dokumen rahsia itu mula diedarkan dalam talian dan disiarkan di Telegram pro-Iran, “Middle East Spectator,” yang mendakwa ia dihantar oleh sumber di Pentagon.

Ia ditandakan sebagai rahsia besar dan mempunyai tanda yang menunjukkan ia untuk dilihat oleh AS dan sekutu “Five Eyes” – Australia, Kanada, New Zealand dan United Kingdom.

Dokumen-dokumen itu menggambarkan persiapan Israel untuk menyerang Iran.

Salah satu dokumen, yang mengatakan ia disusun oleh Agensi Perisikan Geospatial Kebangsaan mengatakan rancangan itu melibatkan memindahkan peluru Israel.

Justeru itu, peristiwa-peristiwa ini menunjukkan bagaimana kebocoran maklumat sulit boleh membawa implikasi besar, termasuk mencetuskan konflik, menjejaskan keselamatan atau mengubah persepsi umum terhadap kerajaan.

Kebocoran maklumat ini menjadi peringatan penting untuk memperkukuh sistem keselamatan maklumat dan melindungi data strategik negara agar maklumat sulit ini tidak jatuh ke tangan mana-mana pihak yang tidak sepatutnya. -airtimes.my

#kebocoranmaklumat #rahsianegara #maklumatsulit #Malaysia #antarabangsa #airtimes

Related Articles

Leave a Reply

error: Aha??? Nak buat apa tu?