Home SemasaMalaysia sumbang US$5 juta kepada rakyat Palestin

Malaysia sumbang US$5 juta kepada rakyat Palestin

by Nurulhuda
A+A-
Reset

KUALA LUMPUR, 18 Dis – Malaysia telah menyampaikan sumbangan AS$5 juta (RM22.34 juta) kepada rakyat Palestin bagi meringankan penderitaan dan krisis kemanusiaan yang semakin meruncing di Gaza.

Sumbangan menerusi inisiatif kerajaan Jordan itu disampaikan Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan kepada Duta Besar Jordan Dr Ismael Maddallah Suliman Maaytah di Wisma Putra, hari ini.

Mohamad berkata sumbangan itu merupakan hasil derma rakyat Malaysia di bawah tabung Akaun Amanah Khas Rakyat Palestin (AAKRP).

“Ini merupakan usaha Malaysia, rakyat dan kerajaan, untuk kita terus membantu rakyat Palestin yang mengalami kekejaman yang tidak berperikemanusiaan. Kita amat berdukacita,

“Rakyat Malaysia sememangnya mempunyai jiwa yang sentiasa bersama untuk membantu sesiapa sahaja dalam kesusahan,” katanya seperti dilapor Bernama.

Mohamad berkata sebanyak RM99 juta sumbangan telah dikumpulkan di bawah tabung AAKRP sejak ia ditubuhkan pada Oktober 2023.

Beliau berkata daripada jumlah itu, lebih RM70 juta telah diserahkan kepada pihak berkaitan misi membantu Palestin.

“Termasuk hari ini (sumbangan US$5 juta), kita telah pun menyerahkan kepada pihak-pihak tertentu di sana dan juga melalui wakil NGO (badan bukan kerajaan) kita di sini, seperti Ops Ihsan dan lain-lain.

“Ada sedikit lagi dan kita akan serahkan pula terus kepada pihak Palestin supaya mereka dapat membina atau mengurus semula perigi-perigi yang telah pun dimusnahkan, bantuan perubatan yang amat diperlukan dan lain-lain lagi,” katanya.

Sementara itu, Wisma Putra dalam kenyataan berkata, Malaysia komited untuk menyalurkan bekalan keperluan asas seperti makanan, sumber perubatan dan bantuan penting lain bagi memenuhi keperluan kemanusiaan mendesak rakyat Palestin di Gaza.

Menurut Wisma Putra, Malaysia kekal teguh dengan sokongannya kepada rakyat Palestin sehingga mereka mencapai hak untuk menentukan nasib sendiri dalam sebuah negara Palestin yang berdaulat dan merdeka berdasarkan sempadan pra-1967 dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negaranya.

“Malaysia sentiasa lantang dalam solidariti dengan rakyat Palestin, memperjuangkan kebebasan, martabat dan keadilan mereka di peringkat global,” jelas Wisma Putra lagi.

#Malaysia #Palestin #airtimes #WismaPutra #sumbangan

 

 

 

Related Articles

Leave a Reply