Home Semasa Beras Putih Malaysia Madani: Kerajaan belum buat sebarang ketetapan – Mohamad Sabu

Beras Putih Malaysia Madani: Kerajaan belum buat sebarang ketetapan – Mohamad Sabu

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 17 Feb – Kerajaan belum membuat sebarang ketetapan di atas cadangan untuk mewujudkan satu gred beras putih sahaja di negara ini, yang dikenali sebagai Beras Putih Malaysia MADANI.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, sebarang pengumuman atau ketetapan yang dibuat, mesti berpandukan Akta Kawalan Padi dan Beras 1994 [Akta 522] serta dimaklumkan kepada Jemaah Menteri.

“Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) bersetuju dengan kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam, yang memaklumkan cadangan tersebut akan dibincangkan secara kolektif dalam Mesyuarat Jawatankuasa Pemantauan Pelaksanaan Majlis Tindakan Sara Hidup (NACCOL), akan datang,

“Justeru itu, sebarang pengumuman atau ketetapan yang hendak dibuat mestilah berpandukan kepada Akta Kawalan Padi dan Beras 1994 [Akta 522] serta dimaklumkan kepada Jemaah Menteri,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Kenyataan itu dikeluarkan bagi menjelaskan kekeliruan yang berlaku susulan pengumuman yang dibuat Pengerusi Task Force (Kluster Makanan) NACCOL Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal, pada 14 Februari lalu.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Bukit Gantang dalam sidang media dilaporkan berkata, tiada lagi kategori Beras Putih Tempatan (SST) dan Beras Putih Import (SSI) melainkan Beras Putih Malaysia MADANI sebagai kategori tunggal.-airtimes.my

#semasa #MatSabu #beras #airtimes #Malaysia

Related Articles

Leave a Reply