Home Semasa Pemukiman Jemaah Menteri 2024 perkasa sinergi dengan kepimpinan perkhidmatan awam

Pemukiman Jemaah Menteri 2024 perkasa sinergi dengan kepimpinan perkhidmatan awam

by Bernama

PUTRAJAYA, 19 JAN – Pemukiman Jemaah Menteri 2024 yang berlangsung selama dua hari berakhir malam tadi telah memperkasakan sinergi dan kerjasama erat antara anggota Jemaah Menteri bersama kepimpinan perkhidmatan awam, kata Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali.

Dalam kenyataan melalui laman Facebook rasminya hari ini, beliau berkata pelbagai strategi dan hala tuju baharu kerajaan bagi jangka masa pendek, sederhana dan panjang telah dirangka sepanjang sesi permukiman itu.

Mohd Zuki berkata antara inti pati yang diberikan tumpuan dalam sesi permukiman berkenaan mencakupi aspek hala tuju dan cabaran ekonomi semasa, pembangunan keselamatan sosial, pembangunan polisi industri digital, keterjaminan makanan, pembaharuan sektor tenaga dan cabaran pendidikan negara.

“Berbeza dengan permukiman sebelum ini, kali ini melibatkan sesi percambahan minda dalam kumpulan dalam membangunkan pelan tindakan secara bersepadu dan menyeluruh,

“Saya percaya permukiman kali ini mampu merealisasikan agenda Malaysia MADANI di bawah kepimpinan Perdana Menteri,” katanya.

Permukiman Perdana Menteri bersama 31 barisan anggota Jemaah Menteri berlangsung selama dua hari bermula Rabu lepas di Cyberview Resort & Spa, Cyberjaya.Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan membuat penilaian untuk membaiki setiap ruang yang ada  termasuk membabitkan soal pendidikan, digital dan teknologi dalam perkhidmatan bagi mengangkat martabat serta keupayaan negara supaya menjadi lebih hebat.

Anwar berkata penilaian itu dilakukan semasa program permukiman dua hari berkenaan berdasarkan input sektor swasta, penyelidik, ilmuwan dan pakar antarabangsa, selain pandangan serta cadangan Jemaah Menteri pada sesi itu.

Sesi permukiman pertama Perdana Menteri bersama Jemaah Menteri yang berlangsung di Putrajaya, Januari tahun lepas antara lain membincangkan soal hala tuju dan penetapan petunjuk prestasi utama setiap kementerian dalam Kerajaan Perpaduan. – BERNAMA

#AirTimes #Malaysia #Semasa

Related Articles

Leave a Reply