Home Pertahanan dan KeselamatanTentera Laut Ibarat sirih pulang ke ganggang: 2 kapal lama kembali berkhidmat dalam TLDM

Ibarat sirih pulang ke ganggang: 2 kapal lama kembali berkhidmat dalam TLDM

by Nurulhuda

[embedyt] https://www.youtube.com/watch?v=tNzo-rQq7Jc[/embedyt]

 

KUANTAN, 19 JAN – Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) hari ini telah menyempurnakan upacara Penamaan dan Pentauliahan Patrol Craft (PC) KD SRI SABAH dan KD SRI SARAWAK.

Upacara pentauliahan kedua-dua kapal telah disempurnakan di Jeti Pangkalan TLDM Tanjung Gelang, Kuantan oleh Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Abdul Rahman Ayob.

Menurut beliau, kemasukan KD SRI SABAH dan KD SRI SARAWAK ke dalam armada TLDM merupakan langkah interim dalam menangani cabaran semasa angkatan laut negara.

Kedua-dua kapal tersebut sebelum ini diserahkan kepada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) pada tahun 2006.

“Kapal-kapal seterusnya telah diserahkan kembali kepada TLDM pada 10 Jun 2020 sebagai langkah interim sementara menunggu aset baharu,” kata Panglima Tentera Laut dalam ucaptama majlis.

Menurut beliau, buat sementara waktu, kedua-dua kapal tersebut akan berpangkalan di Markas Wilayah Laut 1,
Kuantan dan seterusnya akan ditempatkan di Markas Wilayah Laut 2, Sandakan bagi penugasan di perairan Sabah Timur khususnya.

Tambahnya, KD SRI SABAH dan KD SRI SARAWAK akan diletakkan di dalam Skuadron Kapal Ronda ke-13 bersama-sama KD SRI JOHOR dan KD SRI PERLIS.

Jelasnya, kapal ini akan menjadi platform latihan bagi meningkatkan tahap kompetensi warga TLDM.

KD SRI SABAH dan KD SRI SARAWAK sebelum ini merupakan kapal peronda kelas Keris yang dioperasikan oleh TLDM semenjak 1964. Kedua-dua kapal ini merupakan sebahagian daripada 18 buah kapal kelas ini yang dibeli dari syarikat Vosper Ltd pada 1960-an hingga 1970-an. Nama Keris pada ketika ini turut digunakan pada Kapal Misi Pesisir (Littoral Mission Ship, LMS) KD Keris.

Pun begitu, Panglima Tentera Laut menyatakan KD SRI SABAH yang diterima ditauliahkan pada hari ini dikenali KD SUNDANG dalam perkhidmatan TLDM pada satu ketika dahulu. Manakala KD SRI SARAWAK pula adalah KD PANAH.

Dengan kemasukan KD SRI SABAH dan KD SRI SARAWAK, sebanyak 4 buah kapal kelas ini masih lagi beroperasi dalam perkhidmatan TLDM. Kapal lain yang masih aktif ialah KD SRI PERLIS dan KD SRI JOHOR.

Sebahagian besar kapal kelas ini telah diserahkan kepada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) pada tahun 2006. Sejumlah kapal kelas Keris yang diserahkan kepada Maritim Malaysia telah pun menjadi tukun tiruan.

Dalam perkhidmatan Maritim Malaysia, KD SRI SABAH telah dinamakan semula sebagai KM LABAS manakala KD SRI SARAWAK sebagai KM SIPADAN. Pun begitu, KM SIPADAN telah pun dijadikan tukun.

KD SUNDANG pula diberi nama KM SEGANTANG sementara KD PANAH sebagai KM KUKUP.

Legasi nama Sri Sabah dan Sri Sarawak diteruskan oleh kedua-dua kapal ini selepas ditauliahkan ke dalam perkhidmatan TLDM.

Penamaan semula KM SEGANTANG kepada KD SRI SABAH dan KM KUKUP kepada SRI SARAWAK dilaksanakan dalam upacara pada hari ini.

Upacara Penamaan kapal KD SRI SABAH telah disempurnakan oleh Puan Sri Dr Norinah Mustapha, isteri Panglima Tentera Laut selaku Lady Sponsor. Sementara itu, KD SRI SARAWAK pula oleh isteri Timbalan Panglima Tentera Laut, Datin Zamzelina Ahmad.

Sebelum ditauliahkan semula ke dalam perkhidmatan TLDM, kedua-dua kapal ini telah menjalani rutin pasang pulih secara ekstensif. Jelas TLDM, ia melibatkan kerja-kerja replating dan repowering serta pemasangan beberapa peralatan yang lebih moden.

“Ini bagi menjamin pengoperasian yang lebih berkesan dan selamat selain memenuhi kualiti hidup warga kapal,” kata kenyataan itu. – airtimes.my

#AirTimes #Malaysia #Pertahanan #TLDM #Kuantan

Related Articles

Leave a Reply