KUALA LUMPUR, 12 Jan – Malaysia akan terus menyokong Afrika Selatan di dalam tindakan undang-undang terhadap Israel di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (International Court of Justice, ICJ).
Kementerian Luar Negeri (Wisma Putra) memaklumkan, perbicaraan yang berlangsung selama 2 hari itu adalah berkaitan dengan pencabulan Israel terhadap obligasi di bawah Konvensyen 1948 membabitkan Pencegahan dan Hukuman Jenayah Genosid (Konvensyen Genosid) terhadap rakyat Palestin di Semenanjung Gaza.
“Malaysia menyambut baik permulaan perbicaraan terbuka kes yang dibawa oleh Afrika Selatan terhadap Israel di ICJ yang diadakan pada 11 hingga 12 Januari 2024,
“Semasa hujahan lisannya, Afrika Selatan menegaskan kepentingan segera supaya ICJ menetapkan langkah-langkah sementara termasuk mengarahkan Israel menghentikan kempen ketenteraannya di Gaza dan kekejaman terhadap rakyat Palestin dengan serta-merta,” kata Wisma Putra dalam kenyataan pada Jumaat.
Menurut Wisma Putra, Afrika Selatan telah mengemukakan bukti-bukti yang kukuh mengenai niat dan perbuatan genosid yang melanggar Konvensyen Genosid.
“Hari kedua akan disambung dengan hujahan lisan daripada pihak Israel,
“Manakala, keputusan ICJ berhubung langkah-langkah sementara dijangka akan dikeluarkan dalam beberapa minggu akan datang,” jelas Wisma Putra lagi.
Sehubungan itu, kementerian menegaskan, Malaysia menyeru Israel untuk menghormati undang-undang antarabangsa dan menamatkan kekejamannya terhadap rakyat Palestin dengan serta-merta.
“Malaysia juga mengulangi komitmen untuk memperjuangkan nasib rakyat Palestin di semua platform dan menantikan keputusan perbicaraan ICJ ini,” tambah Wisma Putra.
Jenayah perang oleh rejim zionis terhadap penduduk Palestin di Semenanjung Gaza memasuki hari ke-98 hari ini dan sekali gus telah meragut 23,469 nyawa.
Perang Palestin-Israel kembali tercetus pada 7 Oktober lalu selepas beberapa siri kekejaman rejim itu terhadap penduduk Gaza.
Menurut Agensi Berita Palestin WAFA, Kementerian Kesihatan Gaza berkata, kebanyakan mangsa yang maut melibatkan wanita dan kanak-kanak.
Kira-kira 60,000 orang cedera manakala hampir 8,000 orang lagi tidak dapat dikesan sejak konflik Hamas-Palestin bermula 7 Oktober lalu. -airtimes.my
#Malaysia #airtimes #SaveGaza #Palestin #global