KUALA LUMPUR, 26 Dis – Siasatan segera mesti dilakukan segera terhadap sindiket yang bertanggungjawab membawa 171 warga Bangladesh ke Malaysia untuk pekerjaan yang tidak wujud.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata demikian susulan penahanan warga berkenaan di kawasan depan simpang dekat Teluk Ramunia Bayu Damai, Kota Tinggi, Rabu lalu.
Menurut Azalina, syarikat terbabit perlu dikenakan tindakan dan siasatan perlu dilakukan untuk mengenal pasti bagaimana pekerja yang sah telah dieksploitasi dengan janji palsu untuk bekerja di negara ini.
Menggambarkan kejadian itu sebagai ‘hanya sebahagian kecil daripada isu yang sebenarnya’, Azalina berkata, ia jelas adalah jenayah kemanusiaan,
‘Syarikat yang terbabit juga harus disiasat untuk menentukan bagaimana pekerja asing yang sah boleh dieksploitasi dan terpikat dengan janji kerja di Malaysia. Ini adalah jenayah terhadap kemanusiaan,
“Kita tidak boleh bertolak ansur dengan pencabulan hak asasi manusia termasuk dalam sektor perniagaan. Sudah tiba masanya untuk mengambil tindakan tegas terhadap perniagaan yang tidak bertanggungjawab,” katanya di laman X.
Semalam, Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Hussin Zamora mengesahkan video tular memaparkan warga asing yang berjalan beramai-ramai di Pengerang merupakan kejadian yang berlaku pada Rabu lalu.
Jelasnya, kesemua 171 warga Bangladesh itu ditahan oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM) ketika dalam perjalanan ke Balai Polis Bayu Damai untuk membuat laporan polis ekoran ejen pekerjaan tidak memberikan mereka pekerjaan.
“Mereka bukan pendatang asing tanpa izin (PATI) kerana mereka masuk melalui jalan yang sah melalui ejen-ejen pekerjaan. Dianggarkan sudah 3 hingga 6 bulan mereka tidak dapat sebarang pekerjaan,” ujarnya lagi.
Pada Rabu, Tentera Darat Malaysia (TDM) melalui Batalion Ke-23 Rejimen Askar Melayu Diraja (23 RAMD) telah membuat tangkapan terhadap 171 lelaki warga Bangladesh di sekitar Teluk Ramunia.
Markas Divisyen Ketiga Infantri Malaysia (3 Div) memaklumkan, kesemua mereka ditahan pada jam 3.50 petang oleh Pasukan Atur Cepat (PAC) yang sedang melaksanakan rondaan berkenderaan di sektor Op MERPATI I kawasan tanggungjawab 3 Div.
Kemudian, laporan polis telah dibuat di Balai Polis Bayu Damai dan 171 PATI tersebut telah diserahkan kepada Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Setia Tropika, Johor Bahru pada hari yang sama. -airtimes.my
#semasa #airtimes #Malaysia #Bangladesh
