TUMPAT 15 NOV – Ancaman pencerobohan, penyeludupan dan jenayah rentas sempadan lain menjadi antara tanggungjawab digalas Pasukan Gerakan Am (PGA) yang ditugaskan menjaga sempadan di sana.
Briged Tenggara PGA menugaskan batalion di bawah pemerintahannya secara bergilir-gilir mengikut tempoh yang ditetapkan.
Tumpat misalnya antara lokasi panas yang dikesan menjadi laluan digunakan penyeludup termasuk kegiatan pemerdagangan manusia.
Justeru, penting juga kepada pasukan keselamatan yang ditempatkan di sini bukan sahaja dibekalkan dengan kelengkapan sesuai tetapi juga menyediakan kemudahan.
Atas sebab itu Kementerian Dalam Negeri (KDN) memutuskan untuk menaik taraf pos kawalan PGA di perbatasan Kelantan agar penugasan anggota berjalan lancar.
Pos Nibong PGA di Tumpat adalah manifestasi ini sekali gus menunjukkan keutamaan kerajaan khususnya Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam mempertingkatkan kemudahan seterusnya moral anggota.
Pembinaan pos baharu dengan kos RM200,000 ini untuk menggantikan pos lama yang dalam keadaan teruk yang telah dirobohkan pada Ogos lalu.
Selain kemudahan pejabat, pos ini menyediakan tempat tinggal yang selesa lengkap dengan pendingin hawa serta kemudahan tandas bagi kegunaan Briged Tenggara PGA dalam melaksanakan kawalan menerusi Op Taring Wawasan Kelantan.
Pembinaan semula Pos Nibong PGA ini bagi memastikan tahap keselamatan dan keselesaan pegawai serta anggota keselamatan yang melaksanakan penugasan.
Pos ini memainkan peranan dalam mengawal persempadanan negara dari sebarang bentuk pencerobohan dan penyeludupan sentiasa terjamin.

Pos Nibong ini telah disempurnakan oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Pos kawalan di sini mula didiami sekitar tahun 1980an semasa operasi kawalan yang pada masa itu dilakukan oleh Pasukan Polis Hutan (PPH).
Ketika itu pos ini hanya dilengkapi dengan sebuah khemah sebagai tempat penginapan melibatkan kekuatan empat anggota yang bertugas.
Beberapa penambahbaikan pada pos ini telah dilakukan pada tahun 2008 menerusi Rancangan Malaysia ke-9 yang mana sebuah kabin telah didirikan bagi menempatkan Pos Nibong PGA.
Seterusnya, kerajaan telah meluluskan peruntukan bagi tujuan penyelenggaraan dan keselesaan anggota keselamatan melibatkan yang meliputi 11 pos kawalan termasuk Pos Nibong PGA.
Turut disediakan ialah peruntukan tambahan bagi pembelian peralatan logisitik.
Terdahulu, majlis penyerahan bangunan baharu Pos Nibong ini telah disempurnakan oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Pengerusi PBLT Sdn. Bhd., Tan Sri Mazlan Lazim menyerahkan pos tersebut secara simbolik kepada Saifuddin disaksikan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Ruji Ubi dan Timbalan Ketua Polis Negara, Dato’ Sri Ayob Khan Mydin Pitchay. – airtimes.my
#AirTimes #Malaysia #Keselamatan