KUALA LUMPUR, 15 NOV – Kerajaan melalui Kementerian Pertahanan (MINDEF) telah membelanjakan sebanyak RM378.8 juta bagi menampung keperluan perubatan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sama ada veteran berpencen atau tidak berpencen sejak tahun 2022.
Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata, kemudahan perubatan kepada veteran ATM berpencen dan orang tanggungan yang layak diuruskan melalui Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), manakala, yang tidak berpencen diuruskan Jabatan Hal Ehwal Veteran Angkatan Tentera Malaysia (JHEV ATM).
Menurutnya, pecahan perbelanjaan merangkumi peruntukan sebanyak RM78.8 juta bagi tahun 2020; RM111.5 juta (tahun 2021); RM105 juta (tahun 2022) dan RM83.5 juta (yang direkodkan sehingga kini) bagi tahun 2023.
“Kemudahan itu meliputi permohonan pembayaran balik perbelanjaan perubatan contohnya hemodialisis, ubat, kanta mata, alat pendengaran, alat implan atau seupamanya,
“Ini termasuk rawatan kecemasan di hospital atau klinik, di Institut Jantung Negara (IJN), bantuan peralatan seperti kerusi roda, tongkat, katil, tilam dengan had maksimum berjumlah RM5,000.00 serta tuntutan bayaran perjalanan perubatan veteran,” katanya dalam sesi Pertanyaan-Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab persoalan dari Komander (Bersara) Nordin Ahmad Ismail TLDM (Lumut) yang menyatakan berapakah jumlah peruntukan yang Kerajaan perlu tanggung setiap tahun sejak 2020 bagi menampung kos perubatan veteran berpencen dan veteran tidak berpencen di bawah JHEV ATM.
Dalam masa yang sama, beliau menegaskan, kerajaan sentiasa komited dalam menyediakan peruntukan perubatan yang mencukupi bagi memastikan kebajikan semua veteran ATM sama ada veteran berpencen atau tidak sentiasa terpelihara. -airtimes.my
#pertahanan #veteranATM #JHEVATM #airtimes