BANTING, 11 Okt – Eksesais bilateral Tentera Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan French Air and Space Force (Armée de l’Air et de l’Espace, AAE) iaitu Eksesais Malfrench Daggert 2023 (Eks MD23) kini bermula.
Pihak TUDM memaklumkan, Eks MD23 secara khususnya melibatkan sesi perkongsian ilmu dalam Subject Matter Expert Exchange (SMEE), latihan ketenteraan Combat Search and Rescue (CSAR) dan Jungle Operation di antara Pasukan Khas TUDM (PASKAU) dan Commando Parachutiste de l’air no 30 (CPA 30).
Majlis Pembukaan Eks MD23 telah dirasmikan oleh Pegawai Memerintah Pasukan Khas TUDM (PASKAU), Kolonel Muhammad Mustafa Omar TUDM pada Selasa.
Majlis turut menyaksikan upacara pemakaian patch eksesais di antara kedua-dua Co-Exercise Director (CO-EXDIR) TUDM dan AAE sebagai simbolik bermulanya eksesais pada 10 hingga 20 Oktober 23.
Turut hadir, Atase Pertahanan Perancis, Kol Pierre Millet; wakil Markas Pemerintahan Operasi Udara, Leftenan Kolonel Abdul Hadi Abdullah TUDM dan Ketua Pengendali Eksesais, Leftenan Kolonel Dzulhazmy Zainal Abidin TUDM,
“Eksesais ini turut melibatkan bantuan daripada pasukan di bawah naungan Markas Rejimen TUDM iaitu Pangkalan Udara Jugra (PU Jugra), Sekolah Latihan Tempur TUDM (SLTT) serta bantuan atur gerak pesawat helikopter EC725AP dari No 10 Skuadron,” jelas pihak TUDM menerusi hantaran di media sosialnya. -airtimes.my