Home Semasa #TeknologiPertahanan: Kosovo beli Bayraktar untuk atasi ancaman keselamatan

#TeknologiPertahanan: Kosovo beli Bayraktar untuk atasi ancaman keselamatan

by M.Daim

PRISTINA, 18 JUL – Tatkala berhadapan dengan ancaman konflik, Kosovo telah mengambil langkah untuk membeli sejumlah pesawat tanpa pemandu Bayraktar TB2 daripada Turkiye.

Perkara tersebut disahkan sendiri oleh Perdana Menteri Kosovo, Albin Kurti di akaun media sosial rasmi beliau.

Menurutnya, pembelian tersebut merupakan antara langkah untuk memastikan negara Balkan itu selamat dan terjaga.

“Kosovo menjadi lebih selamat,” katanya.

Albin turut menyatakan kerajaannya telah meningkatkan keanggotaan pasukan tentera sebanyak 80 peratus serta peningkatan kadar belanjawan pertahanan melebih 100 peratus dalam tempoh 2 tahun.

Kosovo merupakan negara Balkan yang merdeka semenjak 15 tahun lalu selepas berjaya merdeka dari Republik Yugoslavia.

PM Kosovo, Albin Kurti diberikan taklimat berkenaan Bayraktar TB2 oleh anggota tenteranya. Foto: FB PM Kosovo

Pada ketika ini, NATO telah menempatkan 4,500 anggota pengaman di negara yang mempunyai jumlah penduduk seramai 1.8juta itu.

Kosovo sebelum ini berhasrat untuk menyertai NATO namun 4 negara anggota pertubuhan itu masih tidak mengiktiraf kedaulatan wilayah Balkan itu. Antaranya Greek, Romania, Slovakia dan Sepanyol.

Sehingga hari ini, Serbia yang juga negara bekas Yugoslavia mendakwa Kosovo sebagai sebahagian daripada wilayah mereka.

Walaupun merdeka, Kosovo sedang berhadapan dengan situasi tegang di utara negara itu di mana penduduk majoriti berbangsa Serb enggan mengiktiraf kerajaan negara itu.

Semenjak beberapa bulan yang lalu, kawasan utara Kosovo berhadapan dengan ketegangan kaum di antara etnik Albania dan Serb.

Walaupun Kosovo telah mengisytiharkan mereka telah merdeka, namun negara Balkan itu masih berdepan dengan krisis keselamatan yang kian meruncing.

Bayraktar TB2 merupakan pesawat tanpa pemandu tempur (UCAV) keluaran syarikat pertahanan Turkiye, Baykar. UCAV ini amat dikenali di seluruh dunia berikutan kemunculannya semasa fasa awal Perang Ukraine-Rusia pada tahun lalu.

Selain daripada itu, UCAV ini telah digunakan dalam konflik di Libya serta juga persengketaan Nagarno-Karabakh di antara Azerbaijan dan Armenia. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply