Home Semasa Polis tahan 2 lelaki, rampas dadah bernilai RM671,000

Polis tahan 2 lelaki, rampas dadah bernilai RM671,000

by Nurulhuda

ALOR SETAR, 16 Jun – Polis menahan 2 lelaki dan merampas dadah jenis syabu seberat 18.645 kilogram (kg) dianggarkan bernilai RM671,220 dalam satu serbuan yang dilakukan di sebuah inap desa di Sungai Jagung, Sungai Petani, Rabu lalu.

Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh, berkata kedua-dua suspek berusia 34, dan 35 tahun itu, ditahan pada 11.55 malam ketika sedang mengeluarkan sebuah kotak dari but kereta jenis Honda City, di pekarangan rumah tersebut.

“Hasil pemeriksaan dalam kotak itu menemui 18 bungkusan plastik teh cina berwarna hijau berisi bahan disyaki dadah jenis syabu anggaran berat 18.6 kg,

“Turut dirampas, kenderaan yang dinaiki suspek iaitu sebuah kereta jenis Honda City dan sebuah kereta jenis Perodua Bezza untuk membantu siasatan,” katanya pada sidang media seperti dilapor Bernama.

Beliau berkata, suspek yang masing-masing beralamat di Alor Setar dan Kuala Lumpur serta mempunyai rekod jenayah itu menjadikan inap desa berkenaan sebagai tempat transit, sebelum dadah tersebut dipasarkan terutama di negeri ini.

Tambahnya, syabu yang dirampas itu, dipercayai diperoleh dari negara jiran dan disyaki untuk dipasarkan di negara ini, yang mampu digunakan oleh 30,000 hingga 40,000 penagih.

“Tangkapan direman 7 hari untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952,

“Siasatan lanjut masih dilakukan untuk mengesan jika ada lagi saki baki yang terbabit dalam kegiatan itu,” ujarnya lagi.-airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply