Home Semasa Cakap tanpa bukti, Tun M gelar Anwar ‘Mat Retorik’

Cakap tanpa bukti, Tun M gelar Anwar ‘Mat Retorik’

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 15 Mei – Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini sekali lagi mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengemukakan bukti berhubung tuduhan menyalah guna kuasa bagi kekayaan beliau serta keluarganya.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, meskipun beliau sudah mengambil tindakan mahkamah ke atas Anwar, sehingga ke hari ini Presiden PKR itu tidak pernah menunjukkan bukti selain berterusan melakukan tuduhan ke atasnya.

“Sebaliknya, dia (Anwar) minta saya tunjuk bukti harta saya. Dia yang tuduh saya dan dia minta saya pula tunjuk bukti,

“Saya juga telah isytihar harta beberapa kali semasa jadi Perdana Menteri dan ini juga pengetahuan umum,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurut Dr Mahathir, beliau tidak mempunyai masalah untuk mengisytihar harta kerana tiada apa yang perlu disorokkan.

Bagaimanapun, beliau berkata, Anwar telah beberapa kali menuduhnya salah guna kedudukan semasa menjadi Perdana Menteri untuk kayakan diri sendiri dan keluarga.

“Saya juga dituduh memiliki wang berbilion ringgit, kapal terbang dan kapal. Kononnya semua orang tahu,

“Saya kata tunjuk bukti saya salah guna kuasa untuk kayakan diri dan keluarga dan kalau tidak saya akan ambil tindakan mahkamah,

“Setakat cakap di atas pentas politik tanpa ada bukti ini siapa pun boleh buat. Mereka ini digelar ‘mat retorik’,” kata Dr Mahathir.

Pada 6 Mei lalu, Anwar mencabar bekas pemimpin dan pembesar yang mendapat keuntungan ketika era pemerintahan mereka untuk berkongsi kekayaan dengan orang Melayu yang lain.

Jelas Anwar, ini kerana pemimpin-pemimpin berkenaan dilihat hanya mengaut keuntungan untuk diri sendiri dan keluarga ketika pentadbiran masing-masing.

Namun begitu perkara tersebut dinafikan Dr Mahathir dengan mencabar Anwar untuk membuktikan dakwaan beliau memiliki sejumlah wang seperti yang dikatakan.

Jelas bekas Perdana Menteri itu, sekiranya Anwar gagal mengemukakan bukti, beliau akan mengambil tindakan mahkamah. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply