Home Semasa Abdul Hadi: Pemulihan hubungan Arab Saudi-Iran langkah awal penyatuan ummah

Abdul Hadi: Pemulihan hubungan Arab Saudi-Iran langkah awal penyatuan ummah

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 14 Mac – Pemulihan hubungan diplomatik antara kerajaan Arab Saudi dan Iran dijangka akan memainkan peranan penting dalam menstabilkan suhu geopoltik di Asia Barat terutamanya penyelesaian konflik di Yaman, Syria, Lubnan dan Libya

Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, perkembangan terbaharu itu juga dijangka mampu menguatkan lagi perjuangan untuk membebaskan bumi Palestin.

Menurutnya, PAS menyambut baik pemulihan hubungan antara Arab Saudi-Iran dan menganggapnya sebagai langkah awal ke arah penyatuan ummah secara menyeluruh ke atas umat dan dunia Islam.

“Ia adalah tindakan yang amat baik dalam usaha untuk merapatkan kembali hubungan antara Arab Saudi-Iran yang selama ini terjejas akibat campur tangan dan tipu daya pihak berkepentingan yang mengambil kesempatan untuk keuntungan mereka semata-mata,

“Umat dan dunia Islam sewajarnya turut sama menyambut baik langkah itu di samping menjadikannya sebagai contoh dan tauladan dalam usaha untuk mengeratkan kembali hubungan bagi mengelakkan sengketa berpanjangan yang merugikan ummah secara keseluruhan,” katanya dalam satu kenyataan, pada Isnin.

Sehubungan itu, beliau berkata, PAS mendoakan agar pemulihan hubungan antara Arab Saudi-Iran akan terus berkekalan seterusnya menjadi titik tolak ke arah perpaduan dan penyatuan ummah ke atas seluruh umat dan dunia Islam.

Pada Jumaat Arab Saudi dan Iran sepakat untuk mewujudkan semula hubungan selepas bertahun-tahun persengketaan yang telah mengancam kestabilan dan keselamatan di Teluk dan membantu mencetuskan konflik di Asia Barat dari Yaman ke Syria.

Perjanjian itu diuruskan oleh China dan diumumkan selepas 4 hari rundingan yang diadakan di Beijing antara pegawai keselamatan tertinggi kedua-dua negara. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply