Home Semasa Tidak ada satu sen pun duit rakyat dalam poket saya – Muhyiddin

Tidak ada satu sen pun duit rakyat dalam poket saya – Muhyiddin

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 10 Mac – Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan beliau tidak pernah mengambil wang rakyat sepanjang berkhidmat menjadi Perdana Menteri.

Beliau menjelaskan, pertuduhan ke atas dirinya dibuat di bawah Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 iaitu berkenaan tohmahan salah guna kuasa.

“Saya tidak didakwa atas kesalahan menerima rasuah bagi diri saya,

“Ini kerana setelah siasatan dibuat, didapati tidak ada satu sen pun wang rakyat masuk ke poket saya sendiri sepanjang saya menjadi Perdana Menteri,

“Ini berbeza sekali dengan fitnah yang dilemparkan ke atas saya kononnya saya menyeleweng RM600 bilion wang pakej rangsangan ekonomi semasa pandemik COVID-19,” katanya.

Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) itu berkata demikian pada sidang media selepas selesai proses pendakwaan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, pada Jumaat.

Menurut Muhyiddin, tuduhan itu adalah sebagai satu fitnah jahat yang direka semata-mata untuk mencemarkan imejnya, keluarga dan parti BERSATU.

“Oleh kerana saya tidak menerima rasuah, mereka mencipta kesalahan lain untuk mengesahkan dakwaan Presiden UMNO, Datuk Seri Zahid Hamidi bahawa akan wujud Kluster Mahkamah baharu dalam kalangan pemimpin Perikatan Nasional (PN),

“Dia (Zahid) ingin menyamakan saya dengan dirinya. Tentu sekali berbeza. Dia dituduh menggunakan wang yayasan untuk kegunaan diri sendiri. Sedangkan saya, tidak ada satu sen pun wang yang masuk ke poket saya sendiri,” jelasnya lagi.

Dalam masa yang sama, Ahli Parlimen Pagoh itu berkata, pendakwaan terhadapnya adalah satu bentuk pemangsaan politik yang terancang.

“Saya telah berkecimpung dalam politik selama 50 tahun. Sepanjang tempoh itu, tidak ada apa-apa kesalahan yang saya lakukan. Malah saya sentiasa akur kepada peraturan dan undang-undang,

“Saya yakin dengan kuasa Allah. Saya berdoa semoga Allah mengurniakan rahmah dan inayahNya ke atas saya dan melindungi saya dan sahabat-sahabat seperjuangan saya daripada fitnah jahat dan musibah buruk,

“Saya dan pasukan peguam saya akan berusaha dan berikhtiar untuk mendapatkan keadilan di mahkamah. Nasib saya akan saya serahkan kepada Allah dan hakim yang adil,” ujarnya.

Terdahulu, Muhyiddin, 76 berdepan dakwaan dengan mengunakan jawatan sebagai Perdana Menteri Malaysia dan Presiden BERSATU, telah menggunakan kedudukan untuk suapan wang berjumlah RM232.5 juta daripada seorang individu dan 3 syarikat.

Bagi 3 lagi pertuduhan, Muhyiddin selaku presiden parti itu, didakwa menerima hasil daripada aktiviti haram, iaitu wang berjumlah RM195 juta yang dimasukkan ke akaun CIMB Bank milik BERSATU pada 25 Februari 2021 dan 8 Julai 2022.

Beliau bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan itu dan minta untuk dibicarakan. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply