Home Politik Tukar kerajaan melalui pilihan raya, bukan SD atau tebuk atap – Mat Sabu

Tukar kerajaan melalui pilihan raya, bukan SD atau tebuk atap – Mat Sabu

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 8 Mac – Tan Sri Abdul Hadi Awang seharusnya menyeru ahli yang menyokong Perikatan Nasional (PN) untuk menukar Kerajaan Perpaduan melalui Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang, dan bukan melalui ‘tebuk atap’, Langkah Sheraton atau menandatangani akuan bersumpah (SD).

Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH) Datuk Seri Mohamad Sabu menyuarakan kebimbangan dengan kenyataan yang dibuat secara berulang oleh Abdul Hadi baru-baru ini.

Abdul Hadi dilaporkan berkata, mengakui gabungan parti politik berkenaan sedang berusaha ‘menjatuhkan’ kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Jelas Mohamad yang juga Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, kenyataan Abdul Hadi yang ingin menumbangkan kerajaan perpaduan itu boleh menimbulkan kebimbangan pelabur dan rakyat.

“Kenyataan beliau memang boleh menakutkan para pelabur untuk datang ke Malaysia kerana di antara syarat pelabur untuk berbelanja dan mengeluarkan pelaburan mereka ialah kesejahteraan, keamanan dan kestabilan sesebuah negara,

“Sepatutnya Presiden PAS yang wakili PN bekerja kuat menggunakan segala yang ada pada mereka untuk menumbangkan Kerajaan Perpaduan melalui pilihan raya akan datang. Ini yang menyuburkan demokrasi,

“Telah diketahui daripada angka-angka yang dipersembahkan, pertukaran tiga Perdana Menteri dalam masa yang singkat menjejaskan aliran pelaburan ke Malaysia,” katanya melalui satu hantaran video yang dimuat naik dalam Facebook rasminya, malam tadi.

Mengulas lanjut, Mohamad turut melahirkan kekesalan susulan kenyataan Abdul Hadi itu, namun berkeyakinan bahawa kerajaan pimpinan Anwar akan bertahan sehingga PRU akan datang.

“Binalah Malaysia Madani, Malaysia yang demokrasi, tukarlah kerajaan melalui sistem pilihan raya,” ujarnya lagi.-airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply