Home Pertahanan dan Keselamatan 3 transporter tempatan, 15 PATI Indonesia diberkas Imigresen

3 transporter tempatan, 15 PATI Indonesia diberkas Imigresen

A+A-
Reset

JELI, 8 Mac – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menahan seramai 3 orang lelaki tempatan yang disyaki menjadi penghantar atau transpoter pendatang asing tanpa izin (PATI) di sekitar Jeli dan Gua Musang, Kelantan, kelmarin.

Di dalam operasi berkenaan, turut menahan 15 PATI warga Indonesia berusia 24 hingga 54 tahun yang terdiri daripada 12 lelaki dan 3 wanita.

Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud memaklumkan, mereka dipercayai tiba dari negara jiran dengan melintasi Sungai Golok dan kemudian dipindahkan dengan 3 kenderaan ke rumah penampungan.

Beliau berkata, berdasarkan maklumat dan risikan selama 2 minggu, pasukan operasi mendapati modus operandi sindiket itu adalah masuk melalui laluan udara ke Thailand dari Indonesia dan menyeludup melintasi sempadan Malaysia-Thailand melalui Sungai Golok.

Khairul Dzaimee turut berkata, dalang sindiket dipercayai mengenakan bayaran antara RM6,000 hingga RM7,000 bagi setiap PATI untuk masuk ke Malaysia.

“Kesemua PATI ini kemudian akan dibawa ke destinasi tertentu di luar Kelantan seperti Lembah Klang, Melaka, Pulau Pinang dan Johor Bahru untuk bekerja secara tidak sah,

“Manakala PATI wanita pula mereka dipercayai bekerja sebagai tukang urut atau menawarkan perkhidmatan seks,

“Siasatan awal mendapati ‘transporter’ tempatan ini menerima upah antara RM150 hingga RM250 bagi setiap pendatang tanpa izin yang diangkut dari sempadan menaiki kenderaan yang ditetapkan,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Menurutnya, semasa serbuan dilakukan, terdapat transporter dan PATI yang cuba melarikan diri dengan bertindak secara agresif serta memberi ancaman secara fizikal namun tindakan mereka berjaya digagalkan oleh pegawai operasi.

Mengulas lanjut, beliau berkata, sindiket berkenaan dipercayai aktif sejak Mei 2022 dan mensasarkan PATI dari Indonesia, Myanmar, Bangladesh dan India yang cuba merebut peluang pekerjaan secara haram di negara ini.

“Berdasarkan anggaran, seramai 160 pendatang tanpa izin sebulan dibawa masuk oleh sindiket ini menyebabkan kerajaan kerugian hasil sebanyak RM1.7 juta dalam bentuk kutipan levi pekerja asing,

“Kesemua PATI ini disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 serta Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007,” jelasnya lagi.

Sementara itu, 3 lelaki tempatan pula akan dihadapkan ke mahkamah untuk perintah tahanan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah bagi tujuan siasatan.

Pihaknya juga turut menyita 3 buah kenderaan pelbagai jenis yang dianggarkan bernilai RM100,000 untuk tindakan lanjut.-airtimes.my

KATA KUNCI : PATI IndonesiaSungai GolokTransportertukang urut

Leave a Reply