Home PolitikPAS /PPBM / LAIN Lengahkan peruntukan kawasan pembangkang tidak ikut prinsip Islam dan demokrasi – Hadi Awang

Lengahkan peruntukan kawasan pembangkang tidak ikut prinsip Islam dan demokrasi – Hadi Awang

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 28 Feb – Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang menegaskan, tindakan kerajaan Persekutuan melengahkan peruntukan di kawasan pembangkang dan kerajaan negeri yang dikuasai pembangkang adalah tidak tepat dengan prinsip Islam serta demokrasi.

Beliau ketika berucap dalam perbahasan Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat, hari ini berkata, ia bahkan terlalu jauh daripada ajaran Islam yang menjadi agama negara sebagaimana yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan sangat mencalarkan imej Islam.

Menurutnya, selepas pilihan raya, semua pihak menjadi rakyat kepada mana-mana kerajaan yang memerintah, inilah konsep demokrasi yang betul.

“Janganlah dalam bab cukai diambil daripada semua, bab hasil bumi pula dikebas daripada semua negeri termasuklah negeri pembangkang dan rakyat pembangkang, tetapi dalam urusan mentadbir dan membahagikan peruntukan, dibeza-bezakan,

“Perlu disedari bahawa berlaku banyak ketinggalan terhadap orang Melayu dan bumiputera yang banyak berada di kawasan pedalaman, luar bandar, di Pantai Timur, Utara Semenanjung dan Malaysia Timur (Sarawak dan Sabah).

“Perkara tersebut berlaku sejak zaman penjajah lagi mengikut penyusunan masyarakat yang telah dibentuk oleh mereka bagi mewujudkan ketegangan pada masa hadapan, melalui kesempatan memeras semua rakyat tanpa mengira bangsa dan agama,” jelasnya.

Ahli Parlimen Marang itu berkata, kini kebanyakan penduduk di luar bandar daripada orang Melayu dan bumiputera memberikan sokongan kepada Perikatan Nasional (PN), serta parti Sarawak dan Sabah.

“Adapun Pakatan Harapan (PH) mendapat sokongan penduduk bandar dan kawasan campuran yang didukung oleh bukan Melayu dan bukan bumiputera,

“Justeru, tindakan kerajaan PH membelakangi kawasan PN, Sabah dan Sarawak tidak mampu mengubah keadaan. PN yang mengambil alih kerajaan dalam masa yang singkat ketika bencana wabak dapat menunjukkan sedikit perubahan,” katanya.

Menurutnya, apabila pengundi muda dan luar bandar menunjukkan protes kepada Barisan Nasional (BN) ketika Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) kerana kesilapannya dan menolak PH kerana pembohongan janji dan manifestonya, mereka kemudiannya telah memberikan sokongan kepada PN.

“Kejayaan menukar kerajaan bukan melalui tebuk atap, tetapi atapnya bocor dan dinding kacanya yang berkecai,

“Selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) yang lalu, parti-parti komponen PH mempunyai jumlah kerusi yang tidak mencukupi dan terpaksa menggabungkan semua parti-parti kecil dan segala yang berpenyakit bagi mencukupkan jumlahnya dalam kerajaannya yang bergelora sebagaimana yang disaksikan oleh rakyat,

“Kalau jatuh lagi, jangan salahkan kami. Bukan tebuk atap, tetapi atapnya bocor, pintunya terbuka dan dindingnya pecah,” katanya lagi.

Dalam masa yang sama, Abdul Hadi turut mengingatkan perbahasan bajet bukanlah sekadar menyebut tentang peruntukan jumlah kewangan dengan angka besar, tetapi perkara terpenting adalah pengurusan yang baik, efisien, adil dan saksama.

“Mereka yang mentadbir dengan kuasa politik (legislatif) yang kuat dan beramanah, wajib menjaga perhubungan baik dengan pentadbiran (eksekutif),

“Jangan sekali-kali mengacau pegawai yang berwibawa dengan alasan politik. Perlu ada pemisahan kuasa yang tidak diganggu oleh sebarang campur tangan politik yang salah. Kekalahan Pakatan Harapan (PH) dalam undi penjawat awam, jangan jadikan dendam yang salah dan merosakkan,”ujarnya.

Menurutnya, kalangan ahli politik yang berwibawa pemikirannya dan berintegriti, diwajibkan agar melaksanakan keadilan kepada semua pihak daripada kalangan rakyat, tanpa mengira agama, bangsa dan penyokong atau pembangkang mahupun kalangan atas pagar yang tidak berpendirian, bahkan juga terhadap musuh.-airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply