SEMPORNA, 28 Feb – Pasukan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) telah memberkas seramai 14 pendatang asing tanpa izin (PATI) manakala, 102 individu ditahan bagi tujuan dokumentasi dalam Operasi Bersepadu yang dijalankan di Daerah Semporna, baru-baru ini.
Komandan ESSCOM, Deputi Komisioner Polis (DCP) Datuk Hamzah Ahmad memaklumkan, 14 PATI Filipina berumur antara 17 hingga 47 tahun diberkas atas kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002), Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 dan Akta Pasport 1966.
Menurutnya, sepanjang operasi yang dijalankan pada 20 hingga 26 Februari lalu, penguatkuasaan saman dan kompaun oleh Majlis Daerah Semporna turut dilakukan menerusi pemeriksaan ke atas 400 buah rumah dan premis perniagaan.
“Dalam operasi bersepadu itu, pemotongan sambungan haram elektrik turut dilakukan dan ia membabitkan rampasan sebanyak 110 kilogram (kg) kabel elektrik oleh Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB),
“Di bawah Akta Makanan 1983 pula, sebanyak 3 keping kompaun dikeluarkan berkaitan dengan keselamatan pengendalian makanan dan dua keping notis kompaun di bawah Market Law Act 1972 atas sebab telah tamat tempoh lesen berniaga,
“Sementara itu, Jabatan Tenaga Kerja (JTK) turut mengeluarkan 2 keping notis pematuhan di bawah Ordinan Buruh (Sabah Cap.67) kerana kegagalan majikan menunjukkan salinan penyata gaji kepada pekerja,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Selain itu, Hamzah menjelaskan, sebanyak 76 keping saman dikeluarkan daripada keseluruhan 316 buah kenderaan yang diperiksa kerana melakukan pelbagai kesalahan lalulintas di bawah Akta Pengangkutan Jalan Raya (APJ) 1987.
Hamzah menjelaskan, operasi itu dilakukan 11 lokasi termasuk Pulau Bum Bum dan pondohon di Gugusan Pulau Bodgaya dan Bohey Dulang.
Tambahnya, ESSCOM turut menzahirkan penghargaan kepada semua jabatan dan agensi terlibat, khususnya para pegawai dan anggota yang menjayakan operasi dengan kekuatan purata seramai 81 anggota.
Agensi lain yang terlibat termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Jabatan Imigresen Malaysia dan Jabatan Pendaftaran Negara.
Jelas beliau, ESSCOM juga akan terus mempergiat operasi seumpama ini bagi mengekang mana-mana elemen yang boleh mengganggu-gugat keselamatan dan kesejahteraan awam akibat kebanjiran PATI khususnya di pantai Timur Sabah.
Sehubungan itu, masyarakat diseru untuk menyalurkan maklumat berkaitan sebarang insiden keselamatan di ESS Zone ke Pusat Operasi ESSCOM di talian 089-863 181 atau melalui aplikasi WhatsApp di talian 011-63311072.-airtimes.my
Penguatkuasaan saman dan kompaun oleh Majlis Daerah Semporna turut dilakukan menerusi pemeriksaan ke atas 400 buah rumah serta premis perniagaan.
#Sabah #ESSCOM #keselamatan #PDRM #airtimes