2 ditahan, jadikan rumah tempat bungkus dadah
MELAKA, 28 Feb – Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) telah merampas dadah jenis syabu seberat 3.164 kilogram (kg) yang bernilai RM114,668 selepas menahan 2 individu di sebuah kondominium di Tanjung Keling, Khamis lepas.
Ketua Polis Melaka, Deputi Komisioner Polis Datuk Zainol Samah berkata, suspek berusia 24 dan 35 tahun itu ditahan dalam serbuan kira-kira 3.30 pagi di sebuah kediaman dipercayai dijadikan kegiatan pembungkusan dadah.
Zainol berkata, pihak polis juga turut menyita barang kemas bernilai RM21,763 dan wang tunai RM13,000.
“Melalui risikan maklumat awam, sindiket ini dipercayai telah bergiat aktif sejak Jun tahun lepas dan dadah yang dirampas adalah bagi pasaran sekitar Batu Pahat serta Johor Bahru yang boleh digunakan seramai 15,820 penagih dadah,
“Siasatan awal mendapati kedua-dua suspek berkenaan tidak bekerja dan turut mempunyai rekod jenayah lampau,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Zainol memaklumkan, hasil saringan awal ujian air kencing mendapati kedua-dua suspek positif dadah jenis methamphethamine.
Beliau menambah, nilai keseluruhan rampasan dadah dan harta yang disita dianggarkan bernilai RM136,431.
Menurutnya, suspek ditahan reman selama 7 hari sehingga esok dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Tegasnya lagi, kes disiasat di bawah Sekyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang jika disabit kesalahan boleh dihukum dengan hukuman mati atau penjara seumur hidup. Jika tidak dihukum dengan hukuman mati, hendaklah dihukum dengan sebatan tidak kurang daripada 15 sebatan. -airtimes.my