Home Semasa PRN: 6 negeri sepakat bubar DUN 2 minggu terakhir Jun

PRN: 6 negeri sepakat bubar DUN 2 minggu terakhir Jun

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 22 Feb – Enam negeri dijangka akan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) masing-masing pada bulan Jun depan.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amiruddin Shaari menerusi hantaran di media sosialnya berkata, kesepakatan itu dicapai dalam satu pertemuan antara 6 Menteri Besar serta Ketua Menteri di ibu negara hari ini.

“Kami berenam mengambil kesempatan minum petang di Kuala Lumpur sempena Mesyuarat Majlis Raja Raja (MRR) yang bersidang dua hari,

“Secara ringkas kami mencapai kata sepakat untuk mempertimbangkan pembubaran DUN masing-masing dalam 2 minggu terakhir Jun 2023,” katanya.

Selain Amiruddin, turut bersama dalam pertemuan itu, Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun dan Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow.

Turut hadir, Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar; Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor serta Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob.

Tambah Amiruddin, persefahaman sudah pasti akan dimaklum serta dibincangkan di peringkat parti masing-masing sebelum dipersembah bagi tujuan perkenan Sultan, Yang Dipertuan Besar serta Tuan Yang Terutama Negeri masing-masing.

“Semoga persefahaman ini dapat mempermudahkan usaha rakyat untuk merayakan demokrasi kelak, Insya-Allah,” tambahnya lagi.

Pilihan raya perlu diadakan dalam tempoh 60 hari selepas tarikh pembubaran DUN. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply