Home Pertahanan dan KeselamatanTentera Laut KD LEKIU perkasa diplomasi pertahanan negara di Pakistan

KD LEKIU perkasa diplomasi pertahanan negara di Pakistan

by Nurulhuda

KARACHI, 20 Feb – Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) melalui Kapal Diraja (KD) LEKIU telah menyertai Eksesais AMAN 2023 dan Malaysia-Pakistan (MALPAK) Siri 5/2023 pada 10 hingga 18 Februari lalu.

Markas Pemerintahan Armada (MPA) Barat dalam kenyataan memaklumkan, KD Lekiu bersama 50 angkatan laut dari seluruh dunia telah mengambil bahagian di dalam eksesais multilateral AMAN 2023 yang diadakan serentak dengan Pakistan International Maritime Exhibition & Conference (PIMEC).

“Mengekalkan tema ‘Together for Peace’, eksesais yang dianjurkan bagi mempromosikan keamanan dan keselamatan maritim ini berperanan penting dalam meningkatkan kebolehoperasian angkatan laut dari pelbagai negara dalam menangani ancaman maritim pelbagai bentuk dan dimensi,

“Eksesais kali ini juga turut memberi ruang kepada Pasukan Khas Laut (PASKAL) TLDM berinteraksi serta mengemaskini ilmu dan kemahiran melalui aktiviti Special Forces Operation yang memfokuskan kepada ancaman domain maritim dan antikeganasan,

“Di penghujung eksesais, kesemua kapal dan pesawat telah mengambil bahagian dalam membentuk formasi ‘AMAN’ sebagai menandakan keazaman kolektif ‘Bersama Untuk Keamanan’,” jelas MPA Barat.

Menurut pihak MPA Barat, status TLDM sebagai rakan kongsi berwibawa turut diiktiraf oleh Tentera Laut Pakistan (TLP) melalui jalinan kerjasama bilateral yang diwujudkan.

“Kerjasama ini terus dipergiatkan saban tahun melalui siri eksesais bilateral MALPAK yang dilaksanakan oleh KD LEKIU bersama PNS ZULFIQUAR,

“Latihan ini diadakan bagi meningkatkan kebolehkendalian dan kesefahaman aset TLDM serta TLP dalam operasi menangani ancaman konvensional dan bukan konvensional, di mana pesawat Super Lynx TLDM dan Tim PASKAL turut dilibatkan,

“Kerjasama antara kedua buah angkatan laut kekal utuh di mana aktiviti diplomasi pertahanan sebegini sangat relevan serta memberi pulangan yang baik,” jelasnya lagi.

Selain itu, jelas MPA Barat, penyertaan TLDM dalam kedua-dua eksesais ini memainkan peranan penting dalam mendokong Tonggak Ke-3 Strategi Pertahanan Negara iaitu Perkongsian Berwibawa, melalui operasi atau aktiviti diplomasi pertahanan.

“Penglibatan KD Lekiu menjadi petunjuk jelas akan pengiktirafan dunia terhadap sumbangan dan kewibawaan aset TLDM,

“Status TLDM sebagai rakan kongsi yang kredibel perlu terus dipelihara melalui usaha meningkatkan keupayaan aset TLDM agar setanding, jika tidak lebih baik, dengan angkatan laut negara sahabat,

“Ini perlu disegerakan kerana keupayaan aset-aset yang semakin berusia dan terus ketinggalan dari sudut teknologi memberi tekanan kepada TLDM dalam usaha mengekalkan kerelevanannya di kalangan angkatan laut serantau dan antarabangsa,” ujar MPA Barat lagi. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply