Home Pertahanan dan KeselamatanTentera Udara 2 pegawai, 32 anggota TUDM kini bergelar PASKAU

2 pegawai, 32 anggota TUDM kini bergelar PASKAU

by Nurulhuda

BUKIT IBAM, 13 Feb – Seramai 2 orang pegawai dan 32 anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang lulus ujian asas Komando siri 29/22 telah menerima beret biru, Pasukan Khas Udara (PASKAU) di upacara perbarisan penutup kursus di Jeram Leleh, Bukit Ibam pada Sabtu.

Majlis Penganugerahan Beret Biru Pasukan Khas TUDM (PASKAU) dan Penutup Kursus Komando TUDM Siri 29/22 telah disempurnakan oleh Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Mohd Asghar Khan Goriman Khan TUDM.

Pihak TUDM dalam kenyataan memaklumkan, Kursus Komando TUDM Siri 29/22 ini telah dilaksanakan di Sekolah Latihan Tempur TUDM (SLTT), TUDM Bukit Ibam bermula dari 17 November 2022 hingga 11 Februari 2023.

“Kursus ini dijalankan selama 12 minggu dan seramai 7 orang pegawai dan 75 orang telah melapor diri untuk Latihan Pra Kursus Komando TUDM dan akhirnya hanya 2 orang pegawai dan 32 orang yang berjaya menamatkan kursus,” jelas pihak TUDM.

Pelatih Terbaik Kursus Komando TUDM Siri 29/22 dinobatkan kepada Leftenan Muhammad Annas Azman TUDM.

“Bekas pelajar Sekolah Kebangsaan Pangkalan TLDM Lumut Perak dan Sekolah Menengah Agama Baling, Kedah ini menyertai TUDM setelah tamat pelajaran di peringkat Ijazah Sarjana Muda di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM),

“Beliau telah mengangkat sumpah menyertai perkhidmatan TUDM di dalam Cawangan Tadbir dan ditempatkan bertugas sebagai Ketua Skuadron HANDAU di Akademi Tentera Udara (ATU), Ipoh,

“Beliau telah membuktikan kesungguhan dan semangat yang kental sehingga akhirnya dipilih sebagai Pelatih terbaik Kursus Komando TUDM Siri 29/22,” menurut kenyataan itu lagi.

Sementara itu, Panglima Tentera Udara dalam ucapannya mengucapkan tahniah kepada penuntut yang kini telah bergelar anggota PASKAU setelah berjaya mengharungi pelbagai cabaran.

“Kursus ini memberi penekanan kepada kemampuan fizikal yang luar biasa di samping membentuk kekuatan mental yang tinggi sebagai keperluan asas bagi mana-mana anggota komando agar dapat mengharungi segala kesukaran dan cabaran ketika melaksanakan misi operasi khas,

“Di samping membentuk keupayaan fizikal dan mental yang tinggi, penekanan dan penghayatan kepada 5 nilai teras utama dalam TUDM iaitu integriti, kecemerlangan, keberanian, semangat setia kawan dan kepentingan perkhidmatan diutamakan telah diimplimentasikan dalam kursus ini bagi melahirkan modal insan yang menjadi kebanggaan TUDM,” ujarnya lagi.

Beliau turut mengingatkan kepada anggota penuntut agar bersedia untuk memikul tanggungjawab sebagai anggota PASKAU dalam melaksanakan operasi-operasi khas yang mencabar dan berisiko tinggi.

“Anggota sewajarnya melengkapkan penguasaan diri dalam kemahiran dan pengetahuan yang tinggi dan pelbagai aspek teknikal, taktikal, operational dan strategik bagi menentukan setiap anggota PASKAU berstatus mission capable untuk melaksanakan setiap misi dan operasi,” tegasnya.

Para penuntut turut mempersembahkan demonstrasi penyusupan dan menyelamatkan tebusan yang turut melibatkan pesawat helikopter EC 725 AP yang buat pertama kali dipertontonkan kepada ahli keluarga yang hadir menggunakan teknik Airborne Tactical Extraction Platform (AirTEP) serta turut melibatkan 2 buah pesawat pejuang Sukhoi yang melaksanakan misi tersebut.

Selain itu, turut diserikan dengan pertunjukan payung terjun oleh 6 penerjun TUDM yang berjaya mendarat di lokasi pendaratan di hadapan medan perbarisan.-airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply