Home Semasa Dana RM600 bilion: Muhyiddin, jangan cabar saya – Anwar

Dana RM600 bilion: Muhyiddin, jangan cabar saya – Anwar

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 6 Dis – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan Tan Sri Muhyiddin Yassin supaya tidak mencabar kerajaan mahupun dirinya berhubung isu dana berjumlah RM600 bilion yang didakwa diseleweng ketika pemerintahan Presiden Perikatan Nasional (PN) itu.

Beliau turut menegaskan terdapat beberapa proses dan prosedur yang tidak dipatuhi dalam perbelanjaan dana berkenaan yang dibuat semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan darurat sebelum ini.

Anwar turut mendedahkan bahawa terdapat beberapa syarikat berkepentingan atau terkait dengan keluarga yang turut terlibat dalam penyelewengan itu.

“Jadi saya nak berikan peringatan kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin,

“Jangan cabar kerana memang ternyata ada proses dan prosedur yang tidak dipatuhi selain ada beberapa syarikat berkepentingan atau berkait dengan keluarga juga terlibat,

“Jadi saya ingin jelaskan, saya nak tumpu perhatian mengurus negara, memacu pertumbuhan ekonomi dan memberi kebajikan kepada rakyat. Tetapi sebaik dicabar, kita terpaksa melihat,” katanya pada sidang media selepas memulakan tugas rasmi sebagai Menteri Kewangan, pada Selasa.

Semalam, Muhyiddin menjelaskan tidak takut untuk disiasat susulan dakwaan menyeleweng dana kerajaan berjumlah RM600 bilion ketika beliau menerajui kerajaan.

Tambah Muhyiddin, beliau yakin tidak melakukan penyelewengan duit rakyat yang diamanahkan kepada kerajaan untuk digunakan bagi tujuan membantu orang ramai, terutamanya ketika pandemik COVID-19. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply