Home Semasa Wan Rosdy angkat sumpah Menteri Besar Pahang

Wan Rosdy angkat sumpah Menteri Besar Pahang

by Nurulhuda

PEKAN, 28 Nov – Pengerusi Barisan Nasional (BN) Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail sekali lagi diberi mandat menerajui pentadbiran kerajaan negeri Pahang apabila dipilih sebagai Menteri Besar selepas pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang pada 14 Oktober lalu.

Pelantikan Wan Rosdy, 64, disempurnakan pada Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan Menteri Besar Pahang di Balairung Seri, Istana Abu Bakar, hari ini.

Istiadat pengurniaan itu berlangsung di hadapan Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al Mustafa Billah Shah.

Pemangku Raja Pahang turut berkenan pembentukan kerajaan negeri daripada BN dan Pakatan Harapan (PH) setelah tiada parti yang memperoleh majoriti mudah pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), 19 November lepas.

Pada PRU15, BN memperoleh 16 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang, kurang satu berbanding Perikatan Nasional (PN) manakala PH memperoleh 8 kerusi, manakala proses pengundian DUN Tioman akan berlangsung pada 7 Disember ini.

Pada 15 Mei 2018, Ahli Dewan Undangan negeri (ADUN) Jelai itu dilantik sebagai Menteri Besar Pahang selepas BN memenangi PRU14 dengan menguasai 25 kerusi.-airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply