KUALA LUMPUR, 7 Nov – Kesengsaraan selama 18 bulan di bawah pentadbiran kerajaan Perikatan Nasional (PN) boleh kembali jika rakyat mengundi parti itu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli berkata, sepanjang tempoh itu bekas Perdana Menteri yang juga Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin gagal mentadbir negara dengan baik terutama ketika berdepan COVID-19.
“Kegagalan itu termasuk pengurusan teruk ketika pandemik COVID-19, gagal menyediakan diskaun bagi bayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan pembabitan pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu)-PN dalam skandal besar negara,
“Tempoh pentadbiran PN diingati dalam lipatan sejarah negara sebagai tempoh paling sengsara dan paling tidak stabil. Malah, Muhyiddin juga menjadi Perdana Menteri paling pendek,
“Jadi, saya menyeru pengundi agar tidak lupa rekod kegagalan pentadbiran Muhyiddin dan PN selama 18 bulan itu kerana mengundi mereka sama seperti mengembalikan kesengsaraan kepada negara,” katanya pada sidang media hari ini.
Sebelum itu, beliau turut menyifatkan manifesto PN yang dilancarkan semalam sebagai gula-gula pilihan raya untuk memikat pengundi muda termasuk pengurangan bayaran balik pinjaman PTPTN.
Menurut Rafizi, mustahil tawaran baharu itu akan ditunaikan sedangkan tiada sebarang penyelesaian menyeluruh dibuat sepanjang empat tahun kerajaan PN mengawal hala tuju tabung pendidikan berkenaan.
“Logiknya, sebarang tawaran yang hendak dibuat mengenai PTPTN boleh dibuat serta-merta dahulu semasa PN menduduki kerusi Perdana Menteri dan Pengerusi tabung itu, malangnya ia tidak berlaku,” ujarnya.-airtimes.my