Home Semasa Jalankan aktiviti pelacuran, 4 premis disita DBKL

Jalankan aktiviti pelacuran, 4 premis disita DBKL

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 27 Jun – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah melaksanakan Operasi Bersepadu di sekitar Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dalam membanteras kegiatan haram melibatkan premis yang menjalankan aktiviti rumah urut, pelacuran yang melanggar syarat lesen serta lain-lain kesalahan, pada Ahad.

Timbalan Menteri Wilayah Perseketuan, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, Operasi Bersepadu itu turut melibatkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI).

“Pihak Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) telah mengarahkan agensi DBKL meningkatkan pemantauan dan tindakan penguatkuasaan ke atas aktiviti perniagaan terutamanya yang melibatkan premis hiburan dan aktiviti sosial di ibu kota Kuala Lumpur,

“Sehubungan dengan itu, pihak kementerian dan agensi DBKL telah merangka pelbagai tindakan yang sedang dan akan dilaksanakan mengikut garis panduan dan peruntukan undang-undang yang digunapakai di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, dengan kerjasama agensi sahabat penguatkuasaan yang lain,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Beliau berkata, sebanyak 4 buah premis telah dikenakan tindakan kompaun dan diarahkan tutup serta-merta di bawah UUK 3(1), Undang-undang Kecil Pelesenan Tred Perniagaan dan Perindustrian WPKL 2016 kerana menjalankan aktiviti urut tanpa lesen serta aktiviti tidak bermoral (seks).

Tambahnya, seramai 16 individu yang terdiri daripada 8 orang warganegara Thailand, Indonesia (7 orang) dan Vietnam (seorang) yang bertindak sebagai tukang urut dan pekerja seks telah ditahan oleh JIM untuk tindakan lanjut dibawah Akta Imigresen 1959/63.

“Selain itu, turut di sita 38 unit pelbagai peralatan berupa kondom, cecair pelincir serta peralatan CCTV. Kesemua premis ini ditutup (sealed) di bawah Seksyen 101(1)(v) Akta Kerajaan Tempatan 1976,” jelasnya.

Sementara itu, pihak JAWI turut menahan 5 individu rakyat tempatan beragama Islam (pelanggan) bagi tujuan dokumentasi dan tindakan lanjut.

Dalam pada itu, Jalaluddin menjelaskan, sebanyak 365 premis telah diperiksa dan 326 notis telah dikeluarkan pada tahun 2021.

Manakala, dari Januari sehingga Jun tahun ini, sebanyak 73 premis telah diperiksa dengan 52 notis telah dikemukakan kepada pengusaha premis tersebut.

Jalaluddin turut menegaskan, pihaknya memandang serius keatas pelanggaran syarat lesen yang dilakukan oleh pemilik premis dan aktiviti perniagaan.

“Kementerian turut mengingatkan kepada pemegang-pemegang lesen supaya jangan terlalu mengambil mudah isu pelanggaran syarat lesen kerana sebarang pelanggaran syarat lesen akan dibawa ke jawatankuasa bagi pembatalan lesen perniagaan,

“Pemantauan dan tindakan penguatkuasaan ini akan diteruskan dari semasa ke semasa bersama kerjasama agensi sahabat,” ujarnya. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply