Home Pertahanan dan Keselamatan Selepas 14 hari pelayaran, KD LEKIR tiba ke perairan Hawaii

Selepas 14 hari pelayaran, KD LEKIR tiba ke perairan Hawaii

by Air Times News Network

HAWAII, 27 Jun – Kapal Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), KD LEKIR telah tiba di kawasan perairan Hawaii.

TLDM dalam satu hantaran di akaun media sosial rasminya berkata, kapal tersebut telah melakukan pengisian bahan api bersama kapal United States Naval Ship (USNS) HENRY J. KAISER di perairan Hawaii, Amerika Syarikat, pada Ahad.

Pengisian dilakukan selepas KD Lekir melaksanakan pelayaran selama 14 hari merentasi Lautan Pasifik.

USNS Henry J. Kaiser telah ditugaskan untuk melaksanakan pengisian semula bahan api kepada kapal dari setiap negara termasuk Malaysia yang menyertai Eksesais Rim of the Pacific (RIMPAC) 2022.

“Penyertaan KD Lekir ini adalah merupakan penglibatan kali kedua TLDM setelah kejayaan pelayaran kali pertama dilakukan pada tahun 2018 menerusi KD LEKIU dari Skuadron Frigat ke-23,

“RIMPAC 2022 ini mempamerkan sebanyak 26 negara, 38 kapal, 4 kapal selam, lebih 170 pesawat dan 25,000 kakitangan,” katanya.

Eksesais RIMPAC merupakan peluang kepada warga TLDM khususnya dari KD Lekir dalam memupuk dan mengekalkan hubungan kerjasama dikalangan peserta demi memastikan keselamatan di lautan terus terjamin.

Dalam penyertaan kali ini, KD Lekir telah diberikan penghormatan untuk melakukan penembakan misil anti permukaan, MM40 Exocet dalam fasa SINKEX (Sinking Exercise) RIMPAC 2022.

RIMPAC merupakan latihan peperangan maritim terbesar di dunia dan dianjurkan oleh Tentera Laut Amerika Syarikat. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply