Home Pertahanan dan Keselamatan Artikel: Meriam 105mm LG1 Mk III pamer kuasa tembakan di Lapang Sasar Asahan

Artikel: Meriam 105mm LG1 Mk III pamer kuasa tembakan di Lapang Sasar Asahan

by Air Times News Network

DISEBALIK kisah kehadiran helikopter MD530G dalam Latihan Kuasa Tembakan (LKT) 2022 pada Selasa lalu, Tentera Darat Malaysia (Tentera Darat) telah mempamerkan keupayaan meriam 105mm LG1 Mk III Rejimen Pertama Artileri Diraja Para (1 RAD Para).

LKT 2022 adalah platform terbaik bagi 1 RAD (Para) mempamerkan keupayaan asetnya disamping memperagakan kesiagaan dan kompetensi sistem persenjataan Meriam 105mm LG1 Mk III. Ia sekaligus menunjukkan kekuatan ketumbukan pasukan elit Tentera Darat.

Anggota 1 RAD (Para) melakukan persiapan sebelum melaksanakan penembakan meriam 105mm LG1 Mk III

Dalam Segmen Dinamik di Kem Syed Sirajuddin, Gemas, 1 RAD (Para) telah melakukan demonstrasi persiapan, penembakan dan gerak keluar meriam. Dalam fasa penembakan, meriam telah melakukan 2 jenis penembakan iaitu tembakan langsung terhadap sasaran (direct fire) dan tembakan tidak langsung (indirect fire).

Meriam LG1 Mk III berupaya untuk melakukan tembakan langsung (direct fire) dan tembakan tidak langsung (indirect fire) terhadap sasaran

LG1 Mk III merupakan antara aset terbaharu yang diterima oleh Tentera Darat semenjak tahun lalu. Penembakan inaugurasi meriam ini telah dilaksanakan pada 14 Oktober lalu dan disempurnakan oleh Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd Zain. Penembakan inaugurasi ini menandakan pengoperasian 1 RAD (Para) dengan aset terbaharu mereka.

Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd Zain telah menyempurnakan penembakan inaugurasi meriam pada 14 Oktober lalu

Meriam seberat 1,520 kilogram keluaran syarikat Perancis, Nexter System ini mempunyai jarak penembakan maksimum sejauh 17 kilometer (km). Mempunyai laras sepanjang 3.15 meter (m), LG1 Mk III menggunakan peluru meriam kaliber 105mm NATO.

Aset ini juga berupaya untuk melepaskan tembakan 12 butir peluru seminit. Sistem penembakan meriam ini disokong oleh sistem komputer yang terdapat pada bahagian kiri meriam.

Meriam 105mm LG1 Mk III juga berupaya untuk melepaskan tembakan 12 butir peluru seminit

Direka untuk pasukan tindak cepat, meriam ini mampu untuk dibawa dengan menggunakan kenderaan penunda, dibawa secara underslung pada helikopter atau digugurkan dengan payung terjun dari pesawat pengangkut.

Meriam ini direka untuk beroperasi di pelbagai kawasan termasuklah hutan dan pergunungan. Ciri-ciri ini menjadikan aset ini sesuai untuk dioperasikan pasukan gerak cepat seperti Pasukan Atur Cepat (PAC) 10 Briged Para.

Perolehan ini juga sekaligus mempertingkatkan keupayaan kuasa tembakan Tentera Darat dalam menjaga kedaulatan negara.  – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply