KUALA LUMPUR, 7 Jun – Parti pejuang Tanah Air (PEJUANG) mendesak Wisma Putra dan kerajaan Malaysia menggerakkan tindakan diplomatik sebagai tanda kutukan keras dari Malaysia berhubung seorang pemimpin parti pemerintah India yang menghina Nabi Muhammad serta isteri baginda.
Ketua PEJUANG Muda Malaysia, Dr. Abu Hafiz Salleh Hudin berkata, tindakan tersebut perlu dilakukan susulan tiada sebarang respon rasmi dari kerajaan Malaysia setelah beberapa hari isu ini meletus di peringkat antarabangsa dan menyifatkan ia sangat mendukacitakan serta memalukan.
Beliau turut menjelaskan, Qatar, Kuwait, Iran dan beberapa negara lain telah menerbitkan Nota Bantahan Diplomasi serta memanggil Duta India untuk mendapatkan penjelasan terhadap hal tersebut.
“PEJUANG Muda Malaysia mengecam sekeras-kerasnya kenyataan yang dibuat oleh seorang jurucakap rasmi Bharatiya Janata Party (BJP), Nupur Sharma dalam sebuah wawancara televisyen yang menghina Nabi Muhammad S.A.W. dan isteri baginda, Saidatina ‘Aishah R.A,
“Ia turut diikuti dengan tulisan di Twitter oleh Naveen Kumar Jindal, pemimpin BJP Delhi yang menyokong penghinaan tersebut,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Sharma dan JIndal telahpun memohon maaf secara terbuka. BJP juga menggantung keanggotaan mereka.
Mengulas lanjut, Abu Hafiz berkata, kontroversi itu boleh dijangka kerana Perdana Menteri Narendra Modi terkenal dengan beberapa polisi dan kenyataan berterusan yang dilihat sangat anti-Islam.
“Sungguhpun tindakan terhadap kedua-dua individu yang terlibat dalam penghinaan terhadap Nabi Muhammad S.A.W. telah diambil, ia masih belum memuaskan hati banyak negara Islam kerana dianggap tidak bersifat punitif dan mencukupi,” jelasnya.
Kenyataan Sharma minggu lalu, mencetuskan bantahan dan kemarahan umat Islam di India serta pelbagai negara Islam, malah ramai menuntut wanita itu ditahan.
BJP yang sering dituduh bertindak ke atas golongan minoriti Muslim di India, menggantung Sharma kerana ‘memberi pandangan bertentangan pendirian parti.’
Ahad lalu, Qatar menuntut India memohon maaf atas kenyataan berbaur ‘Islamofobia’ itu ketika Naib Presiden India, Venkaiah Naidu, melawat negara berkenaan dalam usaha meningkatkan perdagangan.
Iran juga menyusuli langkah Qatar dan Kuwait dengan memanggil Duta India bagi mengemukakan bantahan oleh kerajaan serta rakyat, lapor agensi berita IRNA.-airtimes.my