Home Semasa JIM mansuhkan STO, lanjut waktu operasi mulai 11 Mei 2022

JIM mansuhkan STO, lanjut waktu operasi mulai 11 Mei 2022

by Air Times News Network

PUTRAJAYA, 10 Mei – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) akan memansuhkan Sistem Temujanji Online (STO) serta akan melanjutkan waktu pengoperasian di semua pejabat pengeluar pasport negeri dan cawangan terpilih di Semenanjung Malaysia berkuatkuasa 11 Mei ini.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, pelaksanaan tersebut dilakukan berikutan peningkatan yang mendadak bagi permintaan dalam memohon dan memperbaharui Pasport Malaysia Antarabangsa (PMA) semenjak pembukaan sempadan pada 1 April lalu.

“Bermula 1 April hingga 6 Mei 2022, sebanyak 165,449 PMA telah dikeluarkan oleh JIM di seluruh negara berbanding Mac lalu iaitu 111,931,

“Negeri-negeri yang mencatatkan permohonan PMA yang tertinggi adalah Putrajaya, Johor, Selangor, Kuala Lumpur dan Pulau Pinang,” katanya dalam kenyataan, pada Isnin.

Beliau berkata, dalam tempoh tersebut juga, seramai 1,388,434 rakyat Malaysia telah membuat perjalanan ke luar negara bagi urusan rasmi kerajaan, umrah dan haji, perniagaan, melanjutkan pelajaran, perubatan serta lawatan sosial.

Jelasnya, JIM telah menerima maklum balas dari orang ramai berkenaan isu-isu dalam proses permohonan PMA seperti lewat menerima notifikasi melalui email selepas permohonan, masalah memuat naik gambar dan cap jari.

Sehubungan itu, JIM telah mengambil beberapa langkah bagi menagatsi kesulitan yang dihadapi oleh rakyat Malaysia bagi mendapatkan PMA.

“Antaranya termasuklah pemanjangan waktu operasi di Cawangan Putrajaya, Kuala Lumpur, Selangor, Johor, Negeri Sembilan dan Melaka yang akan beroperasi sehingga jam 10 malam,

“Manakala bagi negeri Pulau Pinang, Kedah, Perak, Kelantan, Terengganu dan Perlis pula akan beroperasi sehingga jam 6 petang,” ujarnya.

Menurutnya, semua UTC di semenanjung Malaysia pula akan beroperasi sehingga jam 10 malam berkuat kuasa selepas mendapat kelulusan daripada Kementerian Kewangan Malaysia (MOF).

Manakala, pejabat pasport di Semenanjung Malaysia akan beroperasi pada hari Sabtu bermula jam 8 pagi hingga 12.30 tengah hari bermula 14 Mei 2022.

Sementara itu, bagi rakyat Malaysia yang akan menjalankan ibadah Haji boleh terus ke mana-mana pejabat pengeluar pasport dengan membawa surat tawaran daripada Tabung Haji dan kaunter khas disediakan bagi tujuan ini.

“Pemohon yang telah menerima tarikh temujanji di semua pejabat pengeluar pasport melalui STO tidak akan digunakan pakai mulai 11 Mei 2022, katanya lagi.

Dalam pada itu, bagi urusan pembaharuan PMA, perlu dibuat melalui sistem online kecuali permohonan baru bagi warga emas, orang kurang upaya (OKU), kanak-kanak bawah 13 tahun, jemaah haji, pelajar serta individu yang kehilangan dan kerosakan pasport.

“Pemohon yang mempunyai masalah cap jari masih boleh meneruskan permohonan sehingga proses bayaran dan pemohon boleh hadir terus ke pejabat pemungut yang dipilih bagi pengambilan semula cap jari,

“Pemohon juga dibenarkan untuk membuat pungutan PMA selain daripada pejabat pemungut yang dipilih selagi pasport tersebut masih belum dicetak,” ujar beliau.

Khairul Dzaimee menjelaskan, kelulusan melalui sistem online tersebut boleh diperolehi dalam tempoh 3 hari bekerja menerusi email yang dihantar dan pemohon boleh hadir ke pejabat pemungut sekiranya tidak mendapat notifikasi selepas tempoh tersebut.

Tambahnya, permohonan online tersebut boleh dilayari melalui laman web rasmi JIM. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply