Home Semasa Imbasan MySejahtera, pelitup muka tidak lagi diwajibkan mulai 1 Mei

Imbasan MySejahtera, pelitup muka tidak lagi diwajibkan mulai 1 Mei

by Air Times News Network

KUALA LUMPUR, 27 Apr – Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin memaklumkan imbasan kod QR MySejahtera tidak lagi diwajibkan apabila memasuki premis atau tempat-tempat awam bermula 1 Mei ini.

Walau bagaimanapun, Khairy menyeru supaya orang ramai mengaktifkan fungsi MySJ Trace untuk tujuan pengesanan kontak.

“Individu dengan status ‘High Risk’ pada aplikasi MySejahtera iaitu kes positif COVID-19 dan individu yang diberi arahan Home Surveillance Order (HSO), tidak dibenarkan masuk ke premis,

“Pihak pengurusan premis hendaklah menyemak status risiko individu dalam aplikasi MySejahtera yang akan memasuki premisnya,” katanya dalam sidang media, hari ini.

Beliau turut memaklumkan, pemakaian pelitup muka juga tidak lagi diwajibkan di luar bangunan dan kawasan terbuka.

Katanya, pemakaian pelitup muka ini adalah atas pilihan tetapi amat digalakkan kerana mampu mengurangkan penularan jangkitan.

“Pemakaian pelitup muka adalah wajib apabila berada di dalam bangunan termasuk gedong membeli belah dan pengangkutan awam termasuk e-hailing,

“Penguatkuasaan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) akan dikenakan ke atas individu yang gagal mematuhi arahan,

“Pelitup muka boleh ditanggalkan semasa melakukan senaman berat dan sekiranya berseorangan di dalam suatu ruang,” ujarnya.

Jelasnya, pemakaian pelitup muka di luar bangunan digalakkan apabila berada di kawasan ramai orang dan sesak seperti bazar ramadan, pasar malam dan stadium.

“Individu yang bergejala seperti demam, batuk dan selsema, berisiko tinggi serta melakukan aktiviti bersama orang yang berisiko tinggi seperti warga emas, kanak-kanak,” jelasnya. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply