Home Pertahanan dan Keselamatan Malaysia dan Korea meterai MoU, perkasa kerjasama pertahanan

Malaysia dan Korea meterai MoU, perkasa kerjasama pertahanan

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 27 Apr – Malaysia dan Republik Korea hari ini menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bagi membentuk kerjasama secara rasmi dalam bidang pertahanan.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, perkara itu direalisasikan menerusi satu mesyuarat dua hala yang diadakan secara hibrid dengan Menteri Pertahanan Korea, Suh Wook.

“Mesyuarat dua hala ini amat bermakna dan membawa manfaat penting kepada kedua-dua negara khususnya dalam konteks diplomasi pertahanan melalui pemeteraian MoU antara Malaysia dan Republik Korea berhubung kerjasama dalam bidang pertahanan,

“Ia amat menggembirakan kerana usaha ke arah MoU ini sudah dilaksanakan sejak 3 tahun lalu dan akhirnya ia dapat ditandatangani hari ini,” katanya dalam satu kenyataan, pada Rabu.

Hishammuddin menjelaskan, MoU itu bukan sahaja akan menjadi instrumen perundangan yang akan mengukuhkan lagi kerjasama pertahanan antara kedua-dua negara, malah akan menjadi dokumen rujukan utama dalam interaksi, program dan aktiviti bersama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dengan Angkatan Tentera Korea.

“Ia juga perkembangan yang cukup signifikan memandangkan sebelum ini hubungan pertahanan antara Malaysia dan Korea tiada persefahaman secara rasmi, sekali gus menjadi kekangan untuk meningkatkan lagi kerjasama pertahanan,

“MoU berkenaan juga akan menjadi penanda untuk memperkukuh hubungan pertahanan dua hala dan bagi angkatan tentera kedua-dua negara bekerjasama secara lebih erat,

“Ini selaras dengan komitmen berterusan Malaysia dan Korea dalam usaha meningkatkan hubungan dua hala yang sedia akrab ke tahap ‘perkongsian strategik’,” jelasnya.

Tambahnya, bagi memastikan perancangan di bawah MoU ini dapat dilaksanakan dengan baik dan berjalan lancar, mereka bersetuju menubuhkan sebuah jawatankuasa kerja antara Kementerian Pertahanan kedua-dua negara yang akan menerajui pelaksanaan MoU itu.

Menurut Hishammuddin, inisiatif seterusnya ialah kedua-dua negara juga sedang berusaha ke arah MoU berkaitan industri pertahanan yang mana akan berkait rapat dengan Dasar Industri Pertahanan dan Keselamatan Negara (DIPKN) yang sedang dirangka oleh Kementerian Pertahanan.

Pada mesyuarat hari ini juga, katanya, beliau dan Suh Wook turut mengambil kesempatan berbincang mengenai kerjasama pelbagai hala, khususnya berkenaan Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN (ADMM).

“Selaku Pengerusi Bersama ADMM-Plus Expert Working Group on Cyber Security, kami turut menyentuh ancaman keselamatan dalam domain keselamatan siber,

“Di akhir mesyuarat, saya turut suarakan keyakinan bahawa dengan sokongan Korea, inisiatif Kementerian Pertahanan mengenai Rangkaian Pertahanan Siber ASEAN (ASEAN Cyber Defence Network – ACDN) berupaya dilaksanakan secara lebih efektif,” ujarnya. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply