Home Semasa COVID-19: PM pertahan menteri langgar SOP, amal dua darjat – ADUN Rawang

COVID-19: PM pertahan menteri langgar SOP, amal dua darjat – ADUN Rawang

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 15 Feb – Tindakan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang mempertahankan Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishamuddin Hussein kerana melanggar Prosedur Operasi Standard (SOP) COVID-19 jelas mencerminkan kekusutan akauntabiliti dan amalan dua darjat kerajaan Barisan Nasional (BN).

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rawang, Chua Wei Kiat berkata, alasan yang diguna pakai oleh Perdana Menteri bahawa pelanggaran SOP COVID-19 bukan satu jenayah membuktikan bahawa kerajaan tidak serius dalam usaha membendung penularan wabak COVID-19, khususnya varian Omicron yang telah menyumbang kepada peningkatan lebih 20,000 kes harian.

Beliau berkata, ini bukanlah berkenaan isu pelanggaran SOP adalah satu jenayah atau tidak, namun dalam situasi jangkitan wabak COVID-19 mula naik secara mendadak, pemimpin kerajaan sepatutnya menjadi contoh kepada rakyat untuk mematuhi peraturan bagi mengekang penularan wabak.

“Ini bukanlah pertama kali pemimpin kerajaan melanggar SOP. Jika kompaun terus dikenakan kepada kaum kayangan, tidak ada masalah untuk mereka melanggar undang-undang walaupun seribu kali kerana mereka mampu membayar denda,

“Namun jika rakyat biasa melanggar SOP, ada yang telah dijatuhi hukuman penjara kerana tidak mampu,

“Seseorang pemimpin yang melanggar SOP COVID-19 perlu diberi hukuman lebih berat daripada rakyat biasa. Apatah lagi jika melibatkan pemimpin yang bertanggungjawab menguatkuasakan SOP COVID-19,” jelasnya dalam kenyataan pada Selasa.

Chua yang juga Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Selangor berkata, tindakan Ismail Sabri yang mempertahankan Hishamuddin memperlihatkan bahawa undang-undang yang dirangka demi menjamin keselamatan rakyat begitu mudah ‘dibakul sampahkan’ oleh golongan berkenaan.

“Maka, tidak hairanlah kerajaan BN dengan sewenang-wenangnya meletakkan rakyat dalam risiko kesihatan dengan mengadakan pilihan raya untuk merebut kuasa,” tambahnya.

Justeru, beliau menggesa agar Perdana Menteri tidak memandang ringan isu pelanggaran SOP COVID-19, terutamanya yang melibatkan pemimpin kerajaan dan parti politik.

“Rakyat sudah muak dengan sikap pemimpin kerajaan dan ahli politik yang kerap membelakangi peraturan dan undang-undang dan sebaliknya menuntut sebuah kerajaan yang berakauntabiliti dan peka dengan nasib rakyat,” ujarnya. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply