Home Semasa PDRM kesan taktik terbaru penipuan dalam talian ‘lesen terbang’

PDRM kesan taktik terbaru penipuan dalam talian ‘lesen terbang’

by Air Times News Network

KUALA LUMPUR, 3 Feb – Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah mengesan kegiatan penipuan lesen memandu dalam talian melalui iklan di media sosial tanpa sebarang ujian dan kelas memandu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Komisioner Polis Datuk Mohd Kamarudin Md Din berkata, modus operandi terbaru penipuan adalah dengan cara, mangsa hanya perlu menyerahkan butiran diri dan bayaran bermula RM580 hingga RM5,000 bagi tujuan mendapatkan lesen tersebut.

“Setelah bayaran dibuat, lesen yang dijanjikan tidak diterima,

“Sehingga kini, 9 laporan telah diterima masing-masing 7 kes di Pulau Pinang dan 2 kes di Kelantan melibatkan kerugian keseluruhan berjumlah RM17,000,” katanya dalam satu hantaran sidang media hari ini.

Kamarudin berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Beliau turut menasihati orang ramai sentiasa berwaspada terutama dalam melakukan urusan melalui internet dan laman sosial.

“Lakukan semakan akaun bank dan nombor telefon di portal semak mule yang boleh diakses melalui https://semakmule.rmp.gov.my sebelum melakukan bayaran,

“PDRM juga menyeru orang ramai untuk tidak terlibat dengan sebarang cubaan mendapatkan lesen memandu melalui saluran yang tidak sah,” ujarnya. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply